DAKAR: Kerajaan negara Afrika, Gabon, mengumumkan sekatan terhadap semua media sosial di negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Larangan itu berkuat kuasa serta-merta dan akan dilaksanakan sehingga diberitahu kelak, menurut kenyataan pihak berkuasa komunikasi yang disiarkan menerusi televisyen.
Penduduk ibu negara, Libreville, memberitahu dpa pada Rabu bahawa Facebook, Instagram dan TikTok tidak lagi boleh diakses.
WhatsApp dan perkhidmatan pesanan lain bagaimanapun masih berfungsi.
Pihak berkuasa memaklumkan penyebaran berita palsu, fitnah terhadap individu dan institusi serta pelanggaran perlindungan data sebagai alasan sekatan itu.
Kebebasan bersuara adalah hak asasi, namun ia tidak boleh dilaksanakan dengan melanggar undang-undang yang berkuat kuasa, menurut pihak berkuasa itu.
Ketidakpuasan hati terhadap peningkatan kos sara hidup dan gaji rendah telah mencetuskan protes serta mogok di negara pesisir kaya minyak itu.
Sebagai tindak balas terhadap protes berkenaan, kerajaan Presiden Brice Oligui Nguema minggu ini menggantung cukai, duti import dan fi ke atas beberapa barangan makanan serta bahan binaan selama enam bulan.
Dua setengah tahun lalu, Oligui mengetuai rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah terhadap keluarga Bongo yang memerintah secara autokratik selama beberapa dekad.
Beliau kemudiannya dipilih sebagai presiden kira-kira setahun lalu.
Sebahagian besar daripada kira-kira 2.5 juta rakyat Gabon hidup dalam kemiskinan walaupun negara itu kaya dengan sumber semula jadi. Menurut Bank Dunia, hampir 40 peratus golongan muda di Gabon menganggur.
-- BERNAMA-DPA