Skip to main content

Malaysia

Dua lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Skrang, Pantai Belawai

Aktiviti SAR sedang berlangsung di Sungai Skrang, Betong.
Insiden pertama membabitkan seorang lelaki berusia 20 tahun yang hilang selepas bot yang dinaikinya karam di Sungai Skrang, Betong.

KUCHING: Dua lelaki dikhuatiri lemas dalam dua insiden berasingan di Betong dan Tanjung Manis pada Khamis.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Mohd Fauzi Mohamet Kifli berkata, insiden pertama membabitkan seorang lelaki berusia 20 tahun yang hilang selepas bot yang dinaikinya karam di Sungai Skrang, Betong.

"Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3.51 petang dengan mangsa, Denickles Lesen, 20, sedang menjalankan aktiviti menguji bot laju, sebelum karam.

"Menurut saksi, sejurus karam, mangsa dilihat terkapai-kapai sebelum hilang" jelas beliau.

Ketika ini, katanya, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) telah melakukan pencarian awal secara surface water searching dengan bantuan bot milik penduduk kampung.

Operasi tertumpu di permukaan air bagi mengesan sebarang petunjuk dengan menyusuri lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.

Sementara itu, di Tanjung Manis, seorang lelaki hilang setelah terjatuh ke dalam laut, ketika melakukan kerja-kerja memunggah ikan dari jeti Pantai Belawai.

Pihak bomba, kata Fauzi, menerima panggilan kecemasan sekitar jam 5.03 petang, dan segera mengatur gerak sebuah jentera dengan kekuatan enam anggota ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Manis.

Identiti mangsa kemudian dikenali sebagai Sabarudin Awang Kamarudin, 48.

"Pasukan telah melakukan pencarian awal secara surface searching bersama agensi lain dan penduduk kampung namun masih gagal mengesan sebarang petunjuk," katanya.

Kedua-dua aktiviti SAR, kata Fauzi, akan diteruskan pada pagi ini.
 

Must Watch Video