Skip to main content

Malaysia

Paras empangan stabil, bekalan air berjadual di Kluang, Pontian ditangguh 48 jam

PONTIAN, 10 Feb -- Juruteknik Ranhill SAJ, Mohamad Rizal Md Rais, 36, mengisi tangki air bersih untuk dihantar ke kampung-kampung sekitar Pontian, berikutan paras Sungai Benut dan Empangan Machap yang rendah, menjejaskan operasi Loji Rawatan Air Simpang Renggam kepada sekitar 34 peratus kapasiti.  Keadaan berpunca daripada cuaca kering berpanjangan, namun Kerajaan Johor menggerakkan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kesan gangguan bekalan air.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
- Gambar fail/BERNAMA

JOHOR BAHRU: Pengagihan air secara berjadual atau Bekalan Air Berjadual (BAB) di daerah Kluang dan Pontian ditangguhkan selama 48 jam bermula tengah malam tadi.

Menurut Operator Air Johor Ranhill SAJ, penangguhan itu dilakukan susulan perkembangan positif paras empangan yang membekalkan air mentah kepada beberapa loji rawatan air di kedua-dua daerah berkenaan.

"Penangguhan BAB itu berkuat kuasa mulai 12 tengah malam tadi.

"Para pengguna di Kluang dan Pontian yang terkesan dengan pelaksanaan BAB sejak 7 Feb lepas akan menerima bekalan air secara berperingkat sepanjang tempoh penangguhan tersebut," menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook lewat malam tadi.

Menurut kenyataan itu, sekiranya paras air mentah kekal stabil selepas tempoh 48 jam, pelaksanaan BAB akan dihentikan sepenuhnya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa turut menasihati pengguna agar terus berhemat dalam penggunaan air dan menyimpan bekalan secukupnya sebagai langkah berjaga-jaga.

BAB mula dilaksanakan pada 7 Feb lepas, dengan bekalan air disalurkan selama 36 jam, diikuti 36 jam berikutnya tanpa bekalan air.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video