PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, semua kegiatan keagamaan serta pembinaan rumah ibadat perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa demi memastikan keharmonian dan keamanan negara terus terpelihara.
Menurut Perdana Menteri, isu membabitkan kuil, aktiviti dakwah dan perkara berkaitan agama yang timbul kebelakangan ini perlu ditangani dengan baik serta berlandaskan undang-undang.
"Kita negara hukum. Apa pun kena ikut peraturan dan undang-undang," katanya ketika berucap pada sesi perjumpaan bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurut Perdana Menteri, tiada sekatan untuk melaksanakan aktiviti dakwah atau amalan keagamaan, namun, ia tetap tertakluk kepada peraturan sedia ada, khususnya jika melibatkan kepentingan awam.
"Saya sendiri pernah terlibat dengan kegiatan dakwah. Buatlah dakwah, tiada sekatan sama sekali. Tetapi jika mengganggu lalu lintas atau melibatkan peraturan pihak berkuasa tempatan, maka ikutlah peraturan, itu sahaja yang kita minta," ujar beliau.
Mengulas pembinaan rumah ibadat bukan Islam seperti kuil Hindu, Anwar berkata, penganut bebas menjalankan ibadah, namun, pembinaan struktur kekal seperti kuil atau berhala tidak boleh didirikan sewenang-wenangnya tanpa kelulusan.
"Buatlah kuil dan sembahyang sebanyak mana pun, tetapi ikut peraturan. Tidak boleh pacak kuil atau berhala di mana-mana tempat sesuka hati," kata Anwar.
Beliau turut menolak dakwaan kononnya surau boleh dibina di mana-mana tanpa kelulusan, sambil menjelaskan, dalam sejarah, terdapat juga rumah ibadah umat Islam itu yang dirobohkan kerana melanggar peraturan.
Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap semua pihak dapat menyelesaikan isu berkaitan rumah ibadat dan kegiatan agama secara baik dan tertib agar keamanan negara tidak terjejas.