WASHINGTON: Pasukan Sentral Amerika Syarikat (CENTCOM) mengesahkan telah melancarkan serangan udara terhadap beberapa sasaran ketenteraan Iran pada hujung minggu lalu.
Dalam kenyataan di platform X, CENTCOM berkata serangan itu disifatkan sebagai tindakan 'mempertahankan diri' susulan insiden melibatkan dron milik Amerika Syarikat (AS) sebelum ini.
— U.S. Central Command (@CENTCOM) June 1, 2026
Menurut agensi tersebut, operasi berkenaan menyasarkan lokasi di bandar Goruk serta Pulau Qeshm.
CENTCOM memaklumkan serangan itu berjaya memusnahkan beberapa aset ketenteraan termasuk sistem pertahanan udara, stesen kawalan dan dron serangan.
“Aset yang dimusnahkan ini dikenal pasti sebagai ancaman kepada keselamatan perkapalan komersial di perairan serantau,” menurut kenyataan tersebut.
Perkembangan itu berlaku ketika ketegangan antara Washington dan Tehran terus meningkat, khususnya di kawasan laluan maritim strategik Asia Barat.
Setakat ini, pihak berkuasa Iran belum mengeluarkan sebarang maklum balas rasmi berhubung serangan tersebut.