WASHINGTON: Bekas pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) James Comey didakwa melakukan ugutan untuk membahayakan nyawa Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa), memetik Jabatan Kehakiman (DoJ) pada Selasa.
Tuduhan itu berkaitan hantaran di akaun Instagram Comey pada Mei 2025 yang menunjukkan cengkerang laut mengeja nombor "86 47" dan kapsyen "Pembentukan cangkerang yang hebat di pantai saya."
Menurut DoJ, "seorang pemerhati yang munasabah yang memahami situasi itu akan mentafsirkan (hantaran tersebut) sebagai ungkapan serius suatu niat untuk membahayakan nyawa presiden AS."
Comey dituduh "secara sedar dan sengaja" membuat ugutan untuk membunuh atau mencederakan presiden AS dan menghantar mesej "yang mengandungi ancaman untuk membunuh Presiden."
Trump mendakwa dalam temu bual dengan Fox News ketika itu bahawa "86" ialah slanga untuk pembunuhan dan "47" merujuk kepada beliau sebagai presiden ke-47 AS.
Comey "tahu dengan tepat apa maksudnya," kata Trump kepada Fox.
Bekas pengarah FBI itu berdepan hukuman penjara 10 tahun jika sabit kesalahan, kata Pemangku Peguam Negara Todd Blanche pada sidang akhbar.
Apabila ditanya, beliau tidak menghuraikan bagaimana pihak pendakwa berhasrat untuk membuktikan bahawa Comey mempunyai niat jahat atau mengapa siasatan mengambil masa hampir setahun.
Menurut kamus Merriam-Webster, "86" ialah ungkapan kuno yang bermaksud, "membuang", "untuk menyingkirkan," atau "menolak perkhidmatan kepada."
Comey memadam hantaran itu dan kemudian menyatakan di Instagram bahawa beliau telah "menganggap (bahawa cengkerang) ialah mesej politik. Saya tidak menyedari sesetengah orang mengaitkan nombor itu dengan keganasan."
Comey sebelum ini didakwa oleh pentadbiran Trump atas tuduhan membuat kenyataan palsu.
Mahkamah persekutuan kemudiannya menolak pertuduhan itu.
Comey pernah mengetuai siasatan terhadap campur tangan Rusia dalam pilihan raya AS 2016, yang dimenangi Trump, meneliti kemungkinan hubungan antara Moscow dan anggota kempen Trump.
Trump memecat Comey pada 2017 ketika siasatan itu masih berjalan.
-- BERNAMA-dpa