LONDON: Aktiviti dagangan luar biasa berulang kali berlaku dalam pasaran kewangan menjelang kenyataan awam penting oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semasa penggal keduanya, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya dagangan orang dalam, lapor Xinhua memetik laporan BBC pada Isnin.
Menurut laporan BBC, analisis data dagangan di beberapa pasaran mendapati corak lonjakan dalam volum dagangan beberapa jam atau minit sebelum presiden membuat kenyataan yang menggerakkan pasaran melalui media sosial atau temu bual media. Pergerakan ini sering diikuti oleh turun naik harga yang mendadak.
Penganalisis berkata corak itu mempunyai ciri-ciri dagangan orang dalam yang menyalahi undang-undang, iaitu urus niaga dibuat berdasarkan maklumat yang belum didedahkan kepada umum. Ada juga yang berpendapat sesetengah pedagang semakin mahir menjangka isyarat dasar presiden.
Laporan itu memberikan beberapa contoh. Pada Mac, Trump memberi bayangan dalam satu wawancara media yang konflik dengan Iran “hampir selesai sepenuhnya.” Beberapa puluh minit sebelum kenyataan itu didedahkan kepada umum, lonjakan dagangan yang menjangkakan kejatuhan harga minyak direkodkan. Harga kemudian merosot dengan ketara selepas kenyataan itu diumumkan.
Kemudian pada bulan yang sama, sebelum satu hantaran media sosial oleh Trump yang merujuk kepada rundingan “produktif” dan kemungkinan penyelesaian ketegangan, aktiviti dagangan luar biasa sekali lagi dikesan dalam pasaran minyak, mendahului penurunan harga yang ketara.
Dalam satu lagi kes pada April 2025, pasaran saham AS melonjak selepas Trump mengumumkan penangguhan beberapa langkah tarif. Sebelum pengumuman itu, sejumlah besar dagangan dibuat yang bertaruh pada kenaikan pasaran, dengan sebahagiannya menjana keuntungan besar.
Laporan BBC itu juga menyatakan yang pertumbuhan terkini pasaran ramalan dalam talian, yang pengguna membuat spekulasi mengenai peristiwa geopolitik, turut menarik perhatian pemerhati. Ia memetik satu kes melibatkan Presiden Venezuela Nicolas Maduro, apabila satu akaun membuat pertaruhan pada akhir Disember 2025 yang beliau akan disingkirkan daripada jawatan menjelang akhir Januari 2026. Selepas Maduro digulingkan secara paksa pada hari berikutnya, akaun itu dilaporkan memperoleh keuntungan besar.
Pakar menyatakan bahawa walaupun dagangan orang dalam adalah haram di bawah undang-undang AS, penguatkuasaan masih sukar disebabkan cabaran mengenal pasti sumber maklumat dan mengumpul bukti.
“Anda boleh melihat dagangan besar-besaran pada instrumen kewangan yang jelas menunjukkan seseorang mempunyai maklumat awal tentang apa yang akan diumumkan oleh Donald Trump,” menurut laporan itu yang memetik Paul Oudin, profesor undang-undang pengawalseliaan kewangan di ESSEC Business School.
“Namun, terdapat kemungkinan besar tiada sesiapa akan didakwa,” katanya.
-- BERNAMA-XINHUA