PHNOM PENH: ASEAN merupakan platform yang sangat penting bagi Kemboja untuk memajukan pembangunan nasionalnya serta memperkasakan suaranya di peringkat serantau dan global, kata Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja Prak Sokhonn pada Khamis, lapor Xinhua.
Dalam mesej sempena ulang tahun ke-27 penyertaan Kemboja ke dalam ASEAN, Sokhonn, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata Kemboja antara lain telah meluaskan peluang perdagangan dan pelaburan, memperkukuh kesalinghubungan serantau, meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, merapatkan jurang pembangunan serta memajukan sains, teknologi dan inovasi.
"Usaha ini telah menyumbang secara bermakna kepada penambahbaikan taraf hidup rakyat kami dan menyediakan mereka untuk mendepani masa hadapan," katanya. "Pada masa yang sama, Kemboja telah menjadi penyumbang aktif kepada pembangunan dan integrasi ASEAN."
Sokhonn berkata hormat terhadap kedaulatan dan integriti wilayah, tidak menggunakan ancaman atau kekerasan, serta penyelesaian pertikaian secara aman mengikut undang-undang antarabangsa telah membolehkan negara anggota ASEAN hidup bersama secara aman dan membina rantau yang berteraskan dialog, kerjasama serta kepercayaan bersama.
"Dalam landskap global yang semakin tidak menentu dan tidak stabil hari ini, prinsip-prinsip ini menjadi lebih penting daripada sebelumnya," katanya. "Sebagai sebuah keluarga kolektif, kita mesti terus mempertahankannya dan memilih jalan perdamaian berbanding konflik."
Prak Sokhonn seterusnya berkata bahawa bagi masa hadapan, Kemboja kekal komited sepenuhnya untuk bekerjasama rapat dengan rakan anggota ASEAN yang lain bagi merealisasikan Visi Komuniti ASEAN 2045.
Kemboja secara rasmi menyertai ASEAN pada 30 April 1999.
-- BERNAMA-XINHUA