Skip to main content

Malaysia

AI, pelaburan infrastruktur digital pemacu pertumbuhan ekonomi Malaysia - Pakar

51709879380_TBartificialintelli.jpg
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Institute for Data Innovation and Artificial Intelligence (IDEA-AI),  beroperasi di Victoria, Australia dan Kuala Lumpur, Prof Dr Mohd Saberi Mohamad berkata Malaysia juga di landasan tepat dalam memperkukuh asas ekonomi digital melalui pelaburan berskala besar dalam pusat data, perkhidmatan awan dan infrastruktur digital nasional yang kian matang. - Gambar fail

JOHOR BAHRU: Elemen seperti kecerdasan buatan (AI) dan lonjakan pelaburan infrastruktur digital, khususnya pusat data, dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi Malaysia dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, sekali gus merombak struktur ekonomi berintensifkan buruh kepada berasaskan teknologi serta data bernilai tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Institute for Data Innovation and Artificial Intelligence (IDEA-AI),  beroperasi di Victoria, Australia dan Kuala Lumpur, Prof Dr Mohd Saberi Mohamad berkata Malaysia juga di landasan tepat dalam memperkukuh asas ekonomi digital melalui pelaburan berskala besar dalam pusat data, perkhidmatan awan dan infrastruktur digital nasional yang kian matang.

"Penggunaan AI di Malaysia berkembang daripada sekadar eksperimen kepada aplikasi sebenar dalam sektor utama seperti pembuatan, kewangan dan perkhidmatan. Dalam tempoh jangka sederhana, peralihan ini akan ke tahap lebih strategik membabitkan pembuatan keputusan dan pengoptimuman operasi," katanya kepada Bernama

Mohd Saberi yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang AI, juga menyifatkan Malaysia di fasa pertumbuhan awal kepesatan penggunaan AI yang merangkumi automasi, chatbot dan analitik data sebelum beralih ke tahap pengoptimuman lebih kompleks.

Sektor pembuatan dijangka menerima impak terpantas melalui penggunaan AI untuk kawalan kualiti, penyelenggaraan ramalan dan pengoptimuman pengeluaran manakala sektor kewangan memanfaatkan teknologi bagi pengesanan penipuan serta analisis risiko lebih jitu.

Selain itu, katanya, sektor perkhidmatan termasuk runcit dan hospitaliti pula menunjukkan impak segera menerusi sistem cadangan yang meningkatkan pengalaman pelanggan, selain sektor e-dagang yang meraih pulangan pantas hasil ciri yang khusus atau mengikut kesesuaian serta unjutan permintaan pengguna yang tepat.

Mohd Saberi yang turut berkhidmat sebagai Profesor Adjung di Universiti Malaya-Wales, Multimedia University, United Arab Emirates University dan Universitas Brawijaya berkata lonjakan pelaburan daripada syarikat global dalam infrastruktur digital juga membuktikan keyakinan tinggi pelabur terhadap potensi AI sebagai komponen penting pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau menekankan transformasi struktur ekonomi ini akan memacu permintaan luar biasa terhadap pekerjaan berkemahiran tinggi, sekali gus menuntut peralihan drastik dalam landskap tenaga kerja nasional yang lebih berpaksikan data.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan potensi besar teknologi itu hanya dapat direalisasikan sepenuhnya jika Malaysia mampu menangani cabaran kritikal berkaitan jurang kemahiran dan isu kepimpinan AI di sektor awam serta swasta.

"Kita perlukan pemimpin dilatih khusus dalam kepimpinan AI, bukan sekadar kepimpinan korporat tradisional. Tanpa kepimpinan jelas dalam merangka strategi dan tadbir urus, impak ekonomi AI akan menjadi lebih perlahan dan tidak menyeluruh," katanya.

Berkongsi pandangan sama, Profesor Ekonomi Fakulti Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Dr Nanthakumar Loganathan berkata limpahan ekonomi daripada pelaburan teknologi tinggi ini harus diimbangi dengan usaha pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan bagi memastikan pertumbuhan lebih inklusif.

Pembangunan pusat data di wilayah strategik seperti Johor perlu berfungsi sebagai pintu masuk utama untuk membolehkan usahawan tempatan mengantarabangsakan produk menerusi platform digital dan menyamai trajektori kejayaan dicatatkan ekonomi maju.

"Di Malaysia, agensi kerajaan yang berkaitan perlu mengorak langkah memberi panduan dan latihan melibatkan kedua-dua pihak supaya manfaat pembangunan pusat data jelas kelihatan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Pada masa sama, Nanthakumar mengingatkan mengenai risiko monopoli perniagaan asing yang boleh menjejaskan daya saing perniagaan domestik jika pertumbuhan pelaburan langsung asing (FDI) tidak diimbangi dengan suntikan dana dan bantuan modal teknologi bagi PKS tempatan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video