Skip to main content

Malaysia

Arab Saudi lengkapkan persiapan menyeluruh bagi menjamin keselamatan jemaah haji

FB Saudi_FDA
Dalam kempen proaktif dari bulan Syaaban hingga Syawal, SFDA menjalankan lebih 1,400 lawatan pemeriksaan ke kilang makanan dan farmaseutikal, gudang serta fasiliti peranti perubatan. - Foto SFDA

RIYADH: Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-Ubatan Arab (SFDA) Saudi memuktamadkan pelan operasi komprehensif dan bersepadu bagi musim haji 1447H/2026M.

Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), kesiapsiagaan ini selaras dengan arahan kepimpinan Arab Saudi yang mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan jemaah, dengan memanfaatkan semua sumber bagi memastikan perjalanan haji yang selamat dan lancar.

Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga Masjidil Haram dan Masjid Nabawi serta pengunjungnya.

Pelan operasi SFDA memberi tumpuan kepada pemantauan bersepadu dan pendekatan proaktif. Antara teras utama ialah memperkukuh pengawasan rantaian bekalan, meningkatkan kesiapsiagaan pasukan lapangan, memperhebat lawatan pemeriksaan ke fasiliti terkawal serta mempertingkat koordinasi dengan agensi kerajaan berkaitan.

Pendekatan menyeluruh ini memastikan tindak balas pantas dan memaksimumkan kecekapan operasi kawal selia sepanjang musim.

Pihak berkuasa itu memaklumkan yang pasukan teknikal bersepadu akan beroperasi sepanjang masa merangkumi semua saluran kawal selia, bermula dari pintu masuk darat, laut dan udara.

Ini termasuk kawalan terhadap kargo udara milik misi haji serta pemeriksaan khusus di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz dan Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammed bin Abdulaziz. Pengawasan turut melibatkan premis makanan dan farmaseutikal serta fasiliti peranti perubatan di bawah seliaan SFDA.

Dalam kempen proaktif dari bulan Syaaban hingga Syawal, SFDA menjalankan lebih 1,400 lawatan pemeriksaan ke kilang makanan dan farmaseutikal, gudang serta fasiliti peranti perubatan bagi memastikan integriti rantaian bekalan sebelum ketibaan jemaah.

Selain itu, SFDA menganjurkan beberapa bengkel kesedaran dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan di Makkah dan Madinah, Kementerian Pelancongan serta Pihak Berkuasa Kesihatan Awam. Sesi ini menyasarkan pekerja kilang, katering dan pemeriksa kerajaan bagi memastikan pematuhan ketat terhadap keperluan kesihatan serta penyediaan makanan yang selamat.

Penyertaan tahunan SFDA dalam musim haji adalah sebahagian daripada ekosistem kerajaan bersepadu yang komited menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada jemaah, sekali gus mengukuhkan kepimpinan global negara itu dalam pengurusan jemaah dan keselamatan.

Usaha ini juga selaras dengan tanggungjawab utama SFDA dalam melindungi kesihatan awam melalui keselamatan makanan, ubat-ubatan dan peranti perubatan. Kesiapsiagaan ini adalah hasil perancangan awal sejurus tamat musim haji sebelumnya.

Jawatankuasa Pemandu Haji SFDA turut mengadakan mesyuarat berkala bagi menilai prestasi dan mempertingkat kesiapsiagaan operasi, demi memastikan piawaian kualiti dan kecekapan tertinggi bagi musim haji 1447H/2026M.

-- BERNAMA-SPA

 

 

Must Watch Video