ZURICH: Presiden FIFA, Gianni Infantino, mengucapkan selamat maju jaya kepada skuad kebangsaan Iran menjelang kempen Piala Dunia 2026 yang dijadualkan bermula di Amerika Utara bulan depan.
Menerusi hantaran di media sosial pada Ahad, Infantino menyatakan sokongan beliau terhadap Iran yang bakal memulakan penampilan keempat berturut-turut dalam kejohanan berprestij itu.
Beliau menegaskan bahawa bola sepak mempunyai kuasa unik untuk menyatukan dunia meskipun di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang sedang melanda rantau Asia Barat ketika ini.
Iran dijadualkan memulakan aksi pembukaan Kumpulan G menentang New Zealand pada 15 Jun waktu tempatan di Stadium SoFi, Los Angeles (jam 6 pagi, 16 Jun waktu Malaysia).
Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak Iran (FFIRI) dilaporkan telah memohon kepada FIFA untuk memindahkan lokasi perlawanan mereka ke Mexico atas faktor kebimbangan keselamatan ekoran konflik ketenteraan antara Tehran dan Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, badan induk bola sepak dunia itu secara rasmi menolak permohonan tersebut dengan menyatakan bahawa urusan logistik dan jadual kejohanan tidak boleh diubah pada waktu yang begitu suntuk.
FIFA memberi jaminan bahawa tahap keselamatan tertinggi akan diberikan kepada semua pasukan yang bertanding di AS, termasuk delegasi dari Iran sepanjang tempoh kejohanan berlangsung.
Skuad kendalian Amir Ghalenoei itu sebelum ini telah mengemukakan beberapa syarat kepada pihak penganjur bagi memastikan kelancaran penyertaan mereka, termasuk jaminan keselamatan di penginapan serta kemudahan visa bagi barisan kejurulatihan dan pegawai pasukan.
Selain New Zealand, Iran turut diundi bersama pasukan gergasi Eropah, Belgium, serta wakil Afrika, Mesir dalam pusingan awal Piala Dunia kali ini.