LOS ANGELES: FIFA mengumumkan barisan bintang antarabangsa termasuk Katy Perry dan Lisa daripada kumpulan Blackpink akan mengetuai persembahan pembukaan rasmi Piala Dunia 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 12 Jun depan.
Buat pertama kali dalam sejarah, badan induk bola sepak dunia itu akan mengadakan tiga majlis persembahan pembukaan serentak di tiga negara penganjur iaitu Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada bagi meraikan format baharu kejohanan yang melibatkan 48 pasukan.
Penyanyi kelahiran Thailand, Lisa, bakal melakar sejarah sebagai artis solo pertama dari Asia Tenggara yang membuat persembahan di pentas pembukaan Piala Dunia, menyertai bintang pop AS, Katy Perry dan penyanyi rap Future di Stadium SoFi, Los Angeles.
Lisa merupakan artis K-pop kedua yang diberi penghormatan tersebut selepas Jungkook daripada kumpulan BTS melakukannya pada edisi 2022 di Qatar.
Selain persembahan di Los Angeles, FIFA turut mengumumkan majlis di Estadio Azteca, Mexico City pada 11 Jun yang akan menampilkan J Balvin dan Alejandro Fernandez, manakala majlis di Toronto pada 12 Jun bakal membariskan Michael Buble dan Alanis Morissette.
Bagi memeriahkan lagi debaran kejohanan, penyanyi sensasi Shakira turut dilaporkan bakal melancarkan lagu rasmi Piala Dunia 2026 bertajuk "Dai Dai", hasil kolaborasi bersama Burna Boy yang dijadualkan menemui peminat pada 14 Mei ini.
Piala Dunia 2026 akan bermula dengan perlawanan pembukaan antara Mexico menentang Afrika Selatan, manakala skuad AS akan memulakan kempen mereka menentang Paraguay sejurus selepas majlis persembahan di Los Angeles berakhir.