SUBANG JAYA: Membina landskap media yang kukuh, bebas dan berwibawa penting untuk Malaysia dalam menangani cabaran dibawa perubahan iklim serta kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI), kata Timbalan Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM) Premesh Chandran.
Bercakap pada Festival Solidariti Media 2026 di sini hari ini, beliau berkata peranan kewartawanan menjadi semakin kritikal memandangkan komuniti di seluruh dunia sedang bergelut dengan kesan perubahan iklim, gangguan teknologi dan pengaruh AI yang semakin meningkat dalam kehidupan seharian.
“Tanpa media yang mantap, bebas dan kuat yang boleh mengajukan soalan kritikal kepada kerajaan, perniagaan dan (pihak) kepentingan swasta, kita tidak akan mendapat masyarakat yang kita mahukan,” katanya semasa berucap pada festival itu di PARC Subang di sini, bersempena dengan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia.
Premesh menekankan bahawa media mesti terus berkhidmat untuk kepentingan rakyat dengan meneliti dasar awam selain memastikan komuniti yang terdedah serta minoriti tidak ketinggalan apabila kerajaan dan industri bertindak balas terhadap perubahan iklim serta gangguan teknologi.
Beliau berkata beberapa kejadian cuaca ekstrem baru-baru ini seperti hujan lebat dan banjir kilat di Lembah Klang serta peningkatan suhu, menunjukkan keperluan mendesak terhadap pelaporan isu iklim yang tepat dan berteraskan kepentingan awam.
Pada masa sama, beliau berkata kemunculan pesat AI dan teknologi digital lain sedang membentuk semula kehidupan seharian, menjadikannya semakin penting untuk wartawan membantu orang awam memahami bagaimana perkembangan itu boleh menjejaskan mata pencarian, pendidikan dan struktur sosial.
“Persoalannya ialah bagaimana sebagai sebuah masyarakat, kita memahami perubahan ini dan mempersiapkan diri untuk menghadapinya,” katanya.
Premesh berkata peranan media melangkaui pelaporan peristiwa kerana kewartawanan juga berfungsi mendidik komuniti, menggalakkan wacana awam yang bermaklumat dan memperkukuh institusi demokrasi.
“Hari Kebebasan Akhbar Sedunia meraikan peranan media dalam mewujudkan demokrasi yang kita mahu dalam memastikan kebebasan yang dimiliki rakyat ditegakkan dan kerajaan bertanggungjawab.
“Itulah sebabnya kita menyambut Hari Kebebasan Akhbar Sedunia setiap tahun dan meraikan peranan yang dibawa media ke arah masyarakat yang berkembang maju dan dinamik,” katanya.
Berhubung MMM, Premesh berkata penubuhannya pada tahun lepas menghimpunkan organisasi media, wartawan, editor dan wakil masyarakat sivil dalam usaha mempromosikan persekitaran media yang lebih dikawal selia sendiri dan bertanggungjawab di negara ini.
Beliau juga menggalakkan ahli masyarakat serta pengamal media untuk mengambil bahagian dalam inisiatif majlis itu dan menyumbang ke arah mengukuhkan kebebasan media serta standard profesional.
Festival sehari dengan tema “Maklumat untuk Keamanan dan Planet: Kewartawanan dalam Era Perubahan Iklim dan Teknologi” dianjurkan oleh MMM dengan kerjasama Centre for Independent Journalism (CIJ) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm) dengan sokongan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
-- BERNAMA