WELLINGTON: Lima individu maut dalam kemalangan pada Ahad malam di New Zealand, menjadikan jumlah korban kemalangan jalan raya sempena cuti Hari Keputeraan Raja meningkat kepada tujuh orang, menurut polis pada Isnin, lapor Xinhua.
Tiga individu maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Lebuhraya Negeri 1 berhampiran Waiouru di tengah Pulau Utara kira-kira 2.55 pagi waktu tempatan, manakala dua lagi cedera parah dalam sebuah kenderaan lain, menurut kenyataan polis.
Polis berkata seorang individu yang pada awalnya dilaporkan hilang dari lokasi kejadian kemudiannya berjaya ditemukan.
Dalam insiden berasingan, seorang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan di Pulau Waiheke berhampiran Auckland awal pagi Isnin, manakala seorang lagi maut dalam kemalangan berhampiran Taupo di Pulau Utara pada waktu malam.
Dua kematian terdahulu dilaporkan berlaku pada Jumaat dalam kemalangan di Taupo dan berhampiran Dunedin di Pulau Selatan.
Radio New Zealand melaporkan jumlah korban itu merupakan yang tertinggi sempena hujung minggu panjang Hari Keputeraan Raja sejak 2016, apabila 11 orang maut.
Pihak berkuasa menggesa pemandu supaya lebih berhati-hati ketika trafik musim cuti kembali sesak, susulan keadaan cuaca buruk termasuk hujan lebat di beberapa bahagian negara itu.
-- BERNAMA-XINHUA