COLOMBO: Enam orang, termasuk seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, terbunuh dan tujuh lagi cedera apabila sebuah teksi merempuh orang ramai yang berkumpul untuk acara Wesak pada malam Ahad di Wilayah Barat Sri Lanka, kata polis, lapor Xinhua.
Kemalangan itu berlaku di High Level Road di Meegoda, ketika teksi itu dalam perjalanan dari Avissawella ke Colombo, kata polis.
Menurut polis, kenderaan itu membelok ke arah sekumpulan penganut yang sedang beratur di dansala, gerai makanan percuma yang dibuka semasa Wesak.
Sebanyak 13 orang dibawa ke Hospital Homagama susulan kemalangan itu. Tiga lelaki dan tiga wanita maut sebelum menerima rawatan, kata polis. Mangsa berusia antara 15 hingga 56 tahun.
Polis menahan pemandu berusia 42 tahun, seorang penduduk Piliyandala, selepas dia didakwa cuba melarikan diri dari tempat kejadian.
Menurut polis, siasatan awal mendapati pemandu itu berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.
-- BERNAMA-XINHUA