Skip to main content

Bisnes

SC teroka peluang pengumpulan modal rentas sempadan dengan China

41735280010_SuruhanjayaSekuriti.jpg
SC memaklumkan lawatan itu adalah selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) 2026-2030 yang baharu. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) baru-baru ini telah mengadakan lawatan kerja ke China sebagai usaha menarik lebih ramai pelabur di samping membuka peluang yang lebih luas untuk pelabur Malaysia.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, SC memaklumkan, lawatan itu adalah selaras dengan Pelan Induk Pasaran Modal (CMP) 2026-2030 yang baharu.

Lawatan kerja itu yang sertai wakil daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bursa Malaysia Bhd, mencerminkan usaha nasional yang diselaraskan di bawah tonggak keempat CMP untuk memperdalam ketersambungan antarabangsa, meluaskan penyertaan pelabur dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Lawatan membabitkan beberapa sesi libat urus itu memberi tumpuan kepada mempercepat jalinan pasaran modal antara Malaysia dan China, dengan penekanan untuk membuka aliran pelaburan baharu, memperkukuh perkongsian institusi dan meluaskan ruang bagi pengumpulan modal rentas sempadan.

“Mesyuarat peringkat tertinggi telah diadakan dengan pengawal selia utama China, termasuk Suruhanjaya Kawal Selia Sekuriti China (CSRC) dan Jabatan Pentadbiran Pertukaran Mata Wang Asing China (SAFE), yang menekankan komitmen bersama untuk memajukan kerjasama kawal selia dan keterhubungan pasaran,” menurut SC.

Delegasi itu juga turut mengadakan libat urus dengan pelabur institusi terkemuka China, termasuk China Investment Corporation dan firma pengurusan dana utama seperti China Asset Management Company, E Fund Management, Harvest Fund Management, Yinhua AMC dan China Southern Asset Management.

Sesi libat urus itu dijangka dapat memangkin minat pelabur yang lebih besar terhadap pasaran modal Malaysia dan memudah cara penyertaan yang lebih mampan daripada salah satu kumpulan modal institusi terbesar di dunia.

Dalam usaha membina hubungan institusi yang telah lama terjalin, perbincangan itu turut memajukan kerjasama dalam bidang-bidang utama seperti penguatkuasaan, siasatan dan pemantauan pasaran, ke arah ekosistem pelaburan rentas sempadan yang lebih bersepadu dan berdaya tahan.

Perwakilan delegasi turut meneroka peluang dalam inovasi produk dan pembangunan pasaran, termasuk peningkatan penyertaan China dalam dana dagangan bursa (ETF) rentas sempadan, potensi penyenaraian berkembar dan perluasan tawaran pasaran modal Islam seperti sukuk.

Inisiatif-inisiatif ini bertujuan memperluaskan rangkaian saluran pelaburan yang tersedia kepada pelabur global di samping memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam kewangan mampan dan kewangan Islam.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Pengerusi Eksekutif SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi; Ketua Pejabat Perwakilan BNM di Beijing, Faizal Fathil; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Pasaran Modal SC, Tan Sri Andrew Sheng.

China telah dipilih sebagai destinasi pertama bagi sesi libat urus serantau berkaitan CMP, mencerminkan hubungan ekonomi dua hala yang akrab dan peluang penting untuk terus meningkatkan keterhubungan dalam pelaburan antara kedua-dua pasaran.

Libat urus ini menandakan langkah proaktif ke arah menggembleng modal global, meningkatkan akses pelabur dan meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam integrasi pasaran modal serantau, serta memperkukuh peranannya sebagai pintu masuk pelaburan ke ASEAN dan pasaran yang lebih luas.

-- BERNAMA

Must Watch Video