Skip to main content

Dunia

Ketua penjenayah Ireland, Daniel Kinahan ditahan di Dubai

_Daniel Kinahan_United States Department of State
Daniel Kinahan telah ditahan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkaitan dakwaan penglibatan dalam jenayah terancang serius.

DUBAI: Buruan Ireland yang juga disyaki ketua sindiket jenayah terancang antarabangsa, Daniel Kinahan, telah ditahan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) berkaitan dakwaan penglibatan dalam jenayah terancang serius.

Kinahan, yang kini berusia dalam lingkungan 40-an, ditahan di Dubai susulan waran tangkap yang dikeluarkan oleh mahkamah Ireland, menurut laporan penyiar nasional negara itu, RTE.

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) sebelum ini mengenakan sekatan terhadap Kinahan pada April 2022 selepas beliau dan beberapa ahli keluarganya dikenal pasti sebagai pemimpin kartel jenayah terancang Kinahan.

Selain jenayah, Kinahan turut didakwa mempunyai kaitan dengan industri sukan menerusi syarikat pengurusan tinjunya yang kini dibubarkan, MTK Global, yang pernah mewakili lebih 100 peninju terkenal termasuk Tyson Fury dan Carl Frampton.

Polis Ireland, An Garda Siochana mengesahkan mereka dimaklumkan mengenai penahanan seorang warganegara Ireland di Dubai.

Menurut polis Dubai, penahanan itu dibuat pada Rabu, 15 April susulan operasi pencarian dan pemantauan intensif.

Pihak berkuasa Dubai memaklumkan, seorang buruan Ireland telah ditangkap atas dakwaan peranannya dalam rangkaian jenayah terancang antarabangsa, sebagai sebahagian daripada usaha membanteras jenayah rentas sempadan.

Penahanan itu dibuat selepas pihak berkuasa UAE menerima fail kehakiman daripada Ireland yang memperincikan dakwaan jenayah Kinahan serta penglibatannya dalam organisasi jenayah antarabangsa.

Berdasarkan fail berkenaan, Pendakwa Raya Awam Dubai mengeluarkan waran tangkap bagi memulakan prosiding undang-undang, sebagai langkah awal ke arah proses ekstradisi.

Kinahan berjaya ditahan dalam tempoh 48 jam selepas waran tangkap dikeluarkan.

Menurut An Garda Siochana, penahanan itu selaras dengan perjanjian dua hala ekstradisi antara Ireland dan Emiriah Arab Bersatu, namun kes tersebut ketika ini masih di bawah bidang kuasa pihak berkuasa UAE.

Dalam satu kenyataan, polis Ireland berkata: “Penahanan hari ini merupakan satu bukti penting keperluan kerjasama penguatkuasaan undang-undang antarabangsa dalam membanteras jenayah terancang rentas sempadan.”

Menteri Kehakiman, Hal Ehwal Dalam Negeri dan Migrasi Ireland, Jim O’Callaghan, menyambut baik penahanan berkenaan.

Beliau berkata, penahanan itu dibuat susulan permintaannya kepada pihak berkuasa UAE supaya individu terbabit diekstradisi bagi menghadapi pertuduhan di Ireland, sambil memuji usaha gigih semua pihak yang terlibat.

Siapa Daniel Kinahan?

Daniel Kinahan sebelum ini dinamakan di Mahkamah Tinggi Dublin sebagai ketua kartel dadah.

Pada 5 Februari 2016, cubaan membunuh Kinahan berlaku dalam insiden yang dikenali sebagai tembakan Hotel Regency.

Dalam kejadian itu, seorang rakan sekutunya, David Byrne, ditembak mati manakala dua individu lain cedera.

Insiden berkenaan mencetuskan konflik berdarah antara kumpulan Hutch dan Kinahan yang setakat ini telah meragut 18 nyawa.

Kinahan sebelum ini sering berada di Costa del Sol, Sepanyol, namun selepas insiden Hotel Regency, beliau dipercayai menetap secara tetap di Dubai. - Agensi

Must Watch Video