KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mewujudkan simpanan petroleum strategik sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang keterjaminan tenaga negara susulan ketidaktentuan bekalan global.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, cadangan itu antara perkara yang sedang diperbincangkan kerajaan dalam menilai kesiapsiagaan jangka panjang selepas gangguan bekalan yang menyaksikan laluan strategik itu ditutup selama 48 hari.
“Perkara berkaitan simpanan strategik ini memang sedang dilihat oleh kerajaan, khususnya dalam menilai keperluan jangka panjang susulan krisis yang berlaku,” katanya dalam program Ruang Bicara Bernama TV bertajuk ‘Krisis Tenaga Global: Ekonomi Teruji’, pada Jumaat.
Beliau juga mengulas mengenai Selat Hormuz yang mengendalikan kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dunia bahawa laluan strategik itu kini dibuka semula selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Menteri Luar Iran mengesahkan selat berkenaan kembali dibuka sepenuhnya kepada perkapalan komersial.
Mohd Shahar berkata, pembukaan semula laluan itu tidak akan membawa kepada penstabilan harga minyak serta-merta berikutan kerosakan terhadap infrastruktur penapisan di Asia Barat.
“Walaupun laluan dibuka, proses pemulihan mengambil masa kerana loji penapisan dan kemudahan pengeluaran memerlukan antara empat hingga enam bulan untuk kembali beroperasi sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, gangguan tersebut turut mendedahkan kelemahan struktur dalam landskap tenaga Malaysia, khususnya kebergantungan yang semakin meningkat terhadap import produk petroleum.
“Malaysia yang sebelum ini merupakan pengeksport bersih kini menjadi pengimport bersih berikutan penurunan pengeluaran domestik dan peningkatan penggunaan dengan permintaan dianggarkan sekitar 800,000 tong sehari berbanding pengeluaran kira-kira 400,000 tong sehari.
“Jurang bekalan ini menjadikan kita lebih terdedah kepada kejutan luaran, justeru langkah jangka panjang seperti simpanan strategik dan kepelbagaian sumber bekalan perlu diberi perhatian serius,” katanya.
Beliau juga turut mengulas pengumuman Jabatan Perangkaan Malaysia semalam bahawa ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang 5.3 peratus pada suku pertama 2026 berdasarkan unjuran awal sekali gus mencerminkan asas ekonomi yang kekal berdaya tahan.
“Pertumbuhan ini akan meningkatkan keyakinan masyarakat antarabangsa, khususnya pemain industri dan pelabur terhadap Malaysia sebagai lokasi strategik untuk meneroka peluang pelaburan,” katanya.
-- BERNAMA
KERAJAAN TELITI CADANGAN SIMPANAN PETROLEUM STRATEGIK SUSULAN KETIDAKTENTUAN BEKALAN GLOBAL