Skip to main content

Politik

Inisiatif Rumah Bangsa: “Alhamdulillah. Terima kasih Presiden dan Majlis Tertinggi” – KJ

Sumber: @khairykj
Khairy merupakan antara 6,252 bekas pimpinan dan ahli UMNO yang diterima semula ke dalam parti itu, termasuk Hishammuddin Hussein dan Syed Hamid Albar, selaras dengan gagasan Rumah Bangsa yang diperkenalkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid. - Gambar Instagram @Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah. Terima kasih Presiden dan Majlis Tertinggi.”

Demikian reaksi bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk menerima semula keahliannya di bawah inisiatif Rumah Bangsa.

Menerusi satu lagi hantaran ringkas di akaun Instagram miliknya pada Jumaat malam, Khairy turut menulis “I’m home” atau “Saya kembali”, memberi bayangan kepulangannya ke dalam parti yang pernah diterajui sebelum ini.

Khairy merupakan antara 6,252 bekas pimpinan dan ahli UMNO yang diterima semula ke dalam parti itu, termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Tan Sri Syed Hamid Albar, selaras dengan gagasan Rumah Bangsa yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini, Khairy telah mengemukakan permohonan rasmi supaya pemecatan keahliannya dibatalkan serta nombor keahlian asal diaktifkan semula.

Permohonan itu dibuat atas semangat Rumah Bangsa dan telah diserahkan kepada presiden parti dalam satu pertemuan yang diadakan pada bulan lalu.

Khairy dilaporkan menyatakan kesyukurannya diberikan peluang untuk kembali meneruskan khidmat bakti dan perjuangan demi agama, bangsa dan negara bersama UMNO.

Untuk rekod, Khairy dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 susulan keputusan parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkembangan terbaharu itu dilihat sebagai langkah signifikan UMNO dalam usaha menyatukan semula kepimpinan dan ahli parti, selain mencetuskan perhatian terhadap kemungkinan peranan yang bakal dimainkan Khairy dalam landskap politik negara.

Must Watch Video