Skip to main content

Bisnes

Rakyat berbilang kaum, budaya kekuatan ekonomi Malaysia - Sim

KUALA LUMPUR, May 26 -- Minister of Entrepreneur and Cooperative Development Steven Sim Chee Keong (middle) poses for a group photo during the SME Association of Malaysia (SME Malaysia) 30th Anniversary Gala Dinner today.  Also present, SME Association of Malaysia National President Dr Chin Chee Seong and 30th Anniversary organising chairman Datuk Seri Dr Ricky Yaw Chan Choy.  -- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Steven Sim (tengah) hadir pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-30 Persatuan SME Malaysia di Petaling Jaya, malam tadi. --fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Masyarakat berbilang kaum dan budaya di Malaysia menjadi kelebihan ekonomi yang utama dalam menarik pelabur global serta memperluas hubungan perniagaan antarabangsa, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim.

Beliau berkata justeru, kepelbagaian negara perlu dilihat sebagai kekuatan nasional dan bukannya kelemahan, khususnya dalam ekonomi global yang semakin kompetitif.

“Kepelbagaian kita bukan satu masalah, sebaliknya merupakan kekuatan. Banyak pelabur memberitahu saya bahawa mereka mahu datang ke Malaysia kerana rakyat kita bukan sahaja mempunyai kelebihan bahasa, malah turut mempunyai kekuatan budaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-30 Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Malaysia) di sini malam tadi.

Sim berkata pendedahan rakyat Malaysia kepada kepelbagaian kaum, agama dan amalan budaya membolehkan mereka berinteraksi dengan selesa bersama pelanggan serta rakan perniagaan antarabangsa.

Beliau berkata kelebihan masyarakat yang majmuk turut melengkapi kestabilan politik negara dan kedudukan geografi Malaysia yang strategik ketika ketidaktentuan ekonomi global semakin meningkat.

“Malaysia bukan sahaja mempunyai hubungan diplomatik yang baik, malah kita telah menjalin hubungan perdagangan dan kebudayaan dengan tiga rantau ekonomi utama dunia. Jadi, dari sudut geografi, kita berada di kedudukan yang strategik,” katanya.

Sim berkata beliau yakin bahawa Malaysia memiliki kekuatan yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global sekiranya kerajaan, sektor perniagaan dan masyarakat bekerjasama secara kolektif.

Sementara itu, Sim berkata kerajaan mempergiat usaha untuk memperkukuh aliran tunai dan kecairan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) susulan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat.

Beliau berkata kerajaan telah meluluskan pembiayaan berjumlah RM4 bilion dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, yang memanfaatkan kira-kira 150,000 syarikat, kebanyakannya menerusi kemudahan pembiayaan berkos rendah.

Pada masa sama, beliau berkata kementerian turut melancarkan inisiatif “PowerUp 10K” dengan sasaran menyalurkan sekurang-kurangnya RM15 bilion kepada sektor PKS tahun ini.

Selain itu, beliau berkata peruntukan sektor PKS turut ditingkatkan daripada RM50 bilion kepada RM60 bilion dalam tempoh empat bulan lepas dengan sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Kewangan.

“Kita sedang hidup dalam era pelbagai krisis. (Oleh itu) saya mahu memastikan terdapat kecairan, dana dan aliran tunai yang mencukupi dalam pasaran PKS. Saya tidak mahu pasaran PKS Malaysia kekurangan modal dan aliran tunai,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement