Skip to main content

Bisnes

Lebih 40 peratus pelaburan baharu diagihkan keluar kawasan Perak Perdana

Sumber: BERNAMA
Saarani berkata, kerajaan negeri juga sedang memperkukuh Hutan Melintang sebagai hab perikanan negara melalui Koridor Ekonomi Sempadan Rentas Negeri Hutan Melintang - Sungai Lang. - Gambar fail/BERNAMA

IPOH: Kerajaan negeri Perak telah menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelaburan baharu mesti diagihkan ke luar kawasan Perak Perdana.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sasaran itu ditetapkan di bawah Prinsip Pengimbangan Wilayah dalam Rancangan Struktur Negeri Perak (RSN) 2040 (Kajian Semula).

Menurutnya, perancangan pembangunan di setiap daerah di negeri Perak adalah manifestasi daripada perancangan bersepadu di dalam dokumen-dokumen rujukan utama negeri iaitu Pelan Perak Sejahtera 2030, RSN 2040 (Kajian Semula) dan Rancangan Tempatan Daerah (RTD).

“Hutan Melintang merupakan penerima manfaat utama strategi ini, apabila diangkat sebagai pusat bandar sekunder yang berperanan menyokong pembangunan Wilayah Selatan Perak,” katanya ketika menjawab soalan lisan S. Wasanthee (PH-Hutan Melintang) pada Persidangan DUN Perak, di sini, hari ini.

Saarani berkata, Hutan Melintang juga termasuk di dalam koridor perbandaran negeri, yang menjadi pelengkap pertumbuhan dalam negeri dan Koridor Ekonomi Sempadan Rentas Negeri (KES) Hutan Melintang - Sungai Lang.

Menurutnya, selaras dengan teras pembangunan inklusif, Hutan Melintang sedang menjalani transformasi besar melalui beberapa projek berimpak tinggi.

“Antaranya ialah pembangunan Hab Makanan Bersepadu QL Innofood Park dengan pelaburan bernilai RM1.3 bilion.

“Selain itu, pengukuhan ketersambungan rentas sempadan melalui pembinaan Jambatan Sungai Air Tawar bernilai RM210 juta yang menghubungkan Sabak Bernam ke Hutan Melintang akan membuka pintu ekonomi wilayah selatan negeri Perak,” ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri juga sedang memperkukuh Hutan Melintang sebagai hab perikanan negara melalui KES Hutan Melintang - Sungai Lang dengan projek Kompleks Perikanan LKIM bernilai RM3 juta untuk memodenkan rantaian bekalan hasil laut.

Menurutnya, bagi memastikan kelestarian ekonomi masa hadapan, pembangunan modal insan turut diberi keutamaan melalui penubuhan Malaysia-China Institute (MCI) di Simpang Empat dengan keluasan 60 ekar sebagai pusat latihan teknikal (TVET) bagi melahirkan anak muda tempatan berkemahiran tinggi.

“Kemajuan fizikal yang gah tidak akan bermakna tanpa keseimbangan sosial dan pemerkasaan ekonomi penduduk di peringkat akar umbi.

“Sebanyak 11 buah kampung di DUN Hutan Melintang telah menerima geran RM1.1 juta melaluiprogram SejaTi MADANI yang merangkumi projek-projek antara lainnya berorientasikan pertanian (ternakan, perikanan, akuakultur), pelancongan, perkhidmatan dan perusahaan makanan,” tambahnya.

Jelasnya, dalam menilai tahap pembangunan, kerajaan negeri kini beralih daripada penilaian bersifat anekdot kepada penilaian berasaskan data raya menerusi Indeks Komposit Pemantauan RSN 2040 yang terdiri daripada lima indeks komposit utama dan merangkumi sekurang-kurangnya 21 indikator.

Ia mencakupi aspek kesejahteraan ekonomi, kualiti hidup & kesejahteraan ekonomi, kualiti hidup & kesejahteraan sosial, infrastruktur asas dan ketersambungan fizikal - digital, kesihatan alam sekitar dan urus tadbir.

“Tuntasnya, Hutan Melintang sedang berada di landasan yang tepat untuk menjadi model pembangunan wilayah yang seimbang, maju industrinya, mampan ekosistemnya, dan sejahtera rakyatnya,” ujarnya. 

Must Watch Video