Skip to main content

Bisnes

Amazon intai Globalstar untuk saingi Starlink

71592365975_Amazon.jpg
Amazon menawarkan pemegang saham Globalstar sama ada tunai US$90 sesaham atau 0.3210 saham Amazon sehingga nilai US$90 sesaham.

WASHINGTON: Amazon merancang untuk memperluas perniagaan internet satelitnya dengan mengambil alih syarikat satelit Globalstar, dalam usaha untuk bersaing dengan Starlink milik Elon Musk, lapor agensi berita Jerman (dpa) memetik pengumuman bersama kedua-dua syarikat itu di Seattle pada Selasa.

"Keupayaan baharu ini adalah sebahagian daripada visi jangka panjang Amazon untuk kesalinghubungan berasaskan angkasa lepas.

Amazon merancang untuk bekerjasama dengan pengendali rangkaian mudah alih dan rakan kongsi tambahan bagi merealisasikan visi berkenaan serta menyediakan sambungan berkelajuan tinggi yang boleh dipercayai kepada pelanggan, tidak kira di mana jua mereka berada di dunia," menurut kenyataan itu.

Amazon merujuk kepada berbilion pelanggan yang berada di luar jangkauan rangkaian sedia ada dan menyatakan bahawa syarikat itu telah memulakan Amazon Leo bagi membantu menghubungkan mereka.

Amazon menawarkan pemegang saham Globalstar sama ada tunai US$90 sesaham atau 0.3210 saham Amazon sehingga nilai US$90 sesaham.

Tawaran itu mewakili premium lebih 23 peratus daripada harga penutupan pada Isnin, dengan jumlah keseluruhan melebihi US$11 bilion.

Starlink kini sudah mempunyai beribu-ribu satelit di orbit bumi dan menawarkan kesalinghubungan internet kepada syarikat penerbangan serta perkhidmatan lain.

Rangkaian satelit Leo milik Amazon, yang sebelum ini dikenali sebagai Project Kuiper, masih dalam peringkat pembangunan.

-- BERNAMA-dpa 

 

 

 

Must Watch Video