Skip to main content

Malaysia

MCMC siasat individu sebar berita palsu diesel Filipina

MCMC siasat  individu sebar berita palsu diesel Filipina
MCMC merakam keterangan seorang individu yang disyaki terlibat dalam penyebaran berita palsu berkaitan dakwaan pembekalan kira-kira 329,000 tong diesel kepada Filipina.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam keterangan seorang individu yang disyaki terlibat dalam penyebaran berita palsu berkaitan dakwaan pembekalan kira-kira 329,000 tong diesel kepada Filipina.

Menurut MCMC, siasatan mendapati bahan api diesel berkenaan sebenarnya milik syarikat perdagangan antarabangsa Vitol, dan bukan milik Petronas atau Kerajaan Malaysia seperti yang didakwa.

Pihak berkuasa turut menyita peranti komunikasi dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan tersebut bagi membantu siasatan lanjut.

MCMC memaklumkan, setakat 14 April, sebanyak 47 kertas siasatan telah dibuka melibatkan penyebaran berita palsu berkaitan krisis tenaga global di pelbagai platform media sosial dan digital susulan konflik di Asia Barat.

"Antara kandungan tidak benar yang dikesan termasuk dakwaan kenaikan harga bahan api melebihi pengumuman sebenar, peningkatan tarif elektrik, kapal Malaysia di Selat Hormuz membayar tol kepada Iran, pemberian subsidi BUDI95 kepada warga Singapura, serta dakwaan penghantaran diesel milik Malaysia ke Filipina.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Dalam masa sama, MCMC memandang serius sebarang penyalahgunaan platform digital yang boleh mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu dan memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.

Must Watch Video