Skip to main content

Malaysia

Himpunan GARAH: Anwar, kerajaan dan lima lain diarah fail pembelaan sebelum 21 Mei

Sumber: Sinar Harian
Anwar, kerajaan Malaysia dan lima pihak lain diarah memfail pernyataan pembelaan di Mahkamah Tinggi pada Selasa, bagi menjawab saman oleh 11 peserta himpunan GARAH sebelum 21 Mei depan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Malaysia dan lima pihak lain diarah memfailkan pernyataan pembelaan di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, bagi menjawab saman oleh 11 peserta himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) sebelum tarikh pengurusan kes pada 21 Mei depan.

Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili peserta Garah itu selaku plaintif berkata, mahkamah menetapkan tarikh berkenaan semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nik Nur Amalina Mat Zaidan.

"Prosiding akan datang ditetapkan bulan hadapan iaitu lima minggu daripada tarikh prosiding ini," katanya kepada media.

Pada 16 Mac, Pegawai Khas Komunikasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Gulab Jan Fazal Eladi dan 10 individu yang ditahan semasa himpunan GARAH di kompleks beli-belah Sogo, Februari lalu memfailkan saman tersebut.

Selain Gulab Jan, mereka selaku plaintif ialah Esma Hisham Zainul Nor, Mohamad Jamalee Basah, Hishammudin Abu Bakar, Monashofian Putra, Mohamad Shafiq Abdul Halim, Jurasmadi Pauzi, Mohammad Faizal Bakhari, Elza Nadiah Shaik Sulaiman, Baharin Mohd Tahir dan Iskandar Khoo Kuan Yiaw.

Mereka memfailkan saman tersebut melalui firma guaman, Zainul Rijal dengan menamakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail sebagai defendan pertama hingga keempat.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kelima hingga ketujuh.

Pada 8 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan, seramai 19 individu ditahan termasuk dua yang akan direman bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan GARAH.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, tangkapan dibuat susulan perhimpunan ad hoc yang berlaku walaupun pihak polis tidak membenarkan penganjurannya atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 15 lelaki dan empat wanita tempatan berusia antara 30 hingga 64 tahun ditahan ketika perhimpunan berlangsung pada Sabtu.

Semua defendan diwakili Peguam Persekutuan, Muhammad Faris Haziq. - Sinar Harian

 

Must Watch Video