HONG KONG: Zetrix AI Berhad dan Astron CAICT melancarkan Avatar, iaitu platform baharu berasaskan blok rantai yang dibangunkan untuk menyediakan identiti disahkan, bukti kelayakan dan akses kepada aset digital bagi ejen kecerdasan buatan (AI).
Naib Presiden Astron CAICT, You Xiao Yu berkata, AI agentik yang diperkasa blok rantai akan menjadi asas kepercayaan kepada interaksi digital autonomi pada masa hadapan.
“Apabila ejen mula bertindak bagi pihak individu dan syarikat, pelaksanaan yang selamat dan boleh dipercayai bukan lagi satu pilihan yang boleh dikompromi,” katanya.
Avatar diperkenalkan sebagai protokol kepercayaan untuk menyokong ekonomi agentik, iaitu ekosistem digital yang menyaksikan ejen AI melaksanakan tugasan, berinteraksi dan membuat keputusan bagi pihak pengguna atau organisasi.
Platform itu dibina berasaskan kerangka hibrid OpenClaw menerusi integrasi rantaian blok Astron dan Zetrix, sekali gus membolehkan ejen AI mengakses kelayakan boleh disahkan seperti identiti, kelayakan profesional dan aset digital.
Ia turut disokong rangka kerja keselamatan yang diperakui CAICT serta pusat ejen terbuka yang membolehkan pembangun pihak ketiga membangunkan ejen khusus masing-masing.
Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI Berhad, TS Wong berkata, pertumbuhan ekonomi agentik memerlukan lapisan kepercayaan yang jelas, khususnya dalam menentukan identiti pihak yang diwakili, skop kebenaran ejen serta kesahihan aset dan bukti kelayakan yang digunakan.
“Ejen yang mewakili pengguna individu atau syarikat mencetuskan gelombang baharu tugasan agentik. Ia memerlukan akses kepada bukti kelayakan yang boleh disahkan dan aset digital untuk melaksanakan tugasan berkenaan,” katanya.
Ketua Pegawai AI Zetrix merangkap arkitek Avatar, CZ Wong berkata, platform itu dibangunkan untuk pelbagai kelompok pengguna termasuk sektor korporat, profesional, pencipta kandungan, pempengaruh dan individu.
Bagi syarikat, Avatar dilihat berpotensi mengubah pendekatan digital daripada laman web statik kepada ejen autonomi yang mampu mencari prospek, menyesuaikan mesej mengikut profil pelanggan dan melaksanakan interaksi secara berterusan.
Bagi pencipta kandungan dan pempengaruh pula, platform itu boleh dimanfaatkan untuk mengurus komuniti berbayar, menyampaikan kandungan secara lebih khusus dan meluaskan potensi penjanaan pendapatan.
Dalam masa sama, Zetrix AI dan Astron CAICT turut mengetengahkan potensi interaksi ejen-ke-ejen atau A2A, yang membolehkan avatar berunding, bertukar maklumat dan berurus niaga sesama sendiri tanpa campur tangan manusia secara langsung.
Perkembangan itu hadir ketika kebimbangan terhadap isu penyamaran identiti, kebenaran akses, halusinasi dan ketiadaan sistem pengesahan yang boleh dipercayai dalam ekosistem AI terbuka semakin meningkat.
Pelancaran itu diumumkan semasa World Internet Conference Asia Pacific di Hong Kong.
Zetrix AI dan Astron CAICT berpandangan, infrastruktur ejen dipercayai berpotensi menjadi komponen penting dalam era internet seterusnya, seiring peranan laman web pada era internet awal dan aplikasi mudah alih dalam era digital semasa.