ISTANBUL: Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (AS) menolak kira-kira 15 peratus daripada tuntutan bayaran balik tarif yang disemak menerusi portal baharu agensi itu, lapor Anadolu Ajansi memetik dokumen mahkamah pada Selasa.
Tuntutan itu dikemukakan selepas Mahkamah Agung AS membatalkan tarif US$166 bilion yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump ke atas barangan import.
Mahkamah pada 20 Feb memutuskan Trump secara tidak sah menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa untuk mengenakan tarif itu.
Portal dalam talian Kastam dan Perlindungan Sempadan AS mula beroperasi pada 20 April bagi memproses permohonan bayaran balik berkenaan.
Menurut dokumen yang difailkan di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS di Manhattan, sebanyak 13.3 juta rekod import lulus semakan awal, namun kira-kira 15 peratus daripadanya ditolak setakat 26 April kerana gagal memenuhi pengesahan khusus.
Kenyataan itu dibuat oleh pengarah eksekutif di Kastam dan Perlindungan Sempadan AS, Brandon Lord.
Pihak kastam berkata pengimport boleh membetulkan kesilapan dan memfailkan semula tuntutan mereka.
Menurut dokumen sama, kira-kira 1.74 juta penyertaan import yang diluluskan sudah dalam proses bayaran balik.
Data kerajaan sebelum ini menunjukkan syarikat dan individu membayar tarif yang dipertikaikan itu bagi kira-kira 53 juta penyertaan import.
Agensi itu sebelum ini berkata tuntutan boleh ditolak sekiranya data yang dikemukakan tidak mengikut format ditetapkan, fail rosak atau pihak yang mengemukakan tuntutan bukan pengimport berdaftar atau broker yang memfailkan ringkasan kemasukan import berkenaan.
Keputusan Mahkamah Agung dengan majoriti 6-3 itu bagaimanapun tidak menetapkan kaedah bayaran balik perlu dilaksanakan, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada mahkamah lebih rendah.
-- BERNAMA-ANADOLU