KUALA LUMPUR: Tiada penyingkiran pada konsert minggu ketujuh program realiti Talk To My Manager Musim Kedua (TTMM2) yang berlangsung malam ini apabila dua pasangan peserta berjaya diselamatkan menerusi penggunaan 'gold card' dan imuniti Kasih Eskayvie.
Pengurus Adira Suhaimi bersama artisnya, Anggrek, yang berada dalam kelompok tiga terbawah berjaya meneruskan saingan selepas juri tetap, Datuk AC Mizal dan Che Puan Sarimah Ibrahim buat pertama kali membuat keputusan menggunakan 'gold card'.
Sementara itu, Azeva bersama pengurusnya, Datuk A. Aida, terselamat daripada penyingkiran apabila memperoleh imuniti menerusi Kasih Eskayvie.
Sebelum itu, Kim Khairi dan pengurusnya, Safura Yaacob turut berada dalam kedudukan tiga terbawah pada malam konsert bertemakan 'Tergamaknya Kau'.
Keputusan tersebut sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk beraksi di pentas suku akhir yang dijadual minggu depan.
Sementara itu, pasangan Cik B dan pengurusnya, Datuk Seri Vida, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inspirasi Kasih Eskayvie pada minggu ini.
Kemenangan tersebut melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000.
Dalam perkembangan sama, Anugerah Manager Paling Perform minggu ketujuh pula menjadi milik Jamilul Hayat bersama artis bimbingannya, Hussain, hasil undian orang ramai.
Konsert minggu ketujuh dihangatkan dengan ulasan dan komen daripada penyanyi tersohor, Misha Omar yang tampil sebagai juri jemputan.
Pada konsert suku akhir minggu depan, semua pengurus dan artis masing-masing akan menggalas tugasan bertemakan 'Malam Ini Ku Ingin Jatuh Cinta'.
Turut meneruskan saingan termasuk Ani Maiyuni (pengurus) dan Viviana; Jamilul Hayat dan Hussain; Azad Jasmin dan Amarra Rose, serta Vida dan Cik B.