Skip to main content

Malaysia

Warisan Hari Gawai perlu terus dipelihara, kekalkan keunikan Sarawak - Tiong

KUALA LUMPUR, 22 Jan -- Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berucap pada MATTA Membership Summit 2026 hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata Hari Gawai antara perayaan tradisional yang amat penting bagi masyarakat Dayak serta menjadi simbol kepelbagaian budaya yang membanggakan Sarawak. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Warisan budaya dan nilai perpaduan yang terkandung dalam sambutan Hari Gawai perlu terus dipelihara bagi mengekalkan keunikan Sarawak sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata Hari Gawai antara perayaan tradisional yang amat penting bagi masyarakat Dayak serta menjadi simbol kepelbagaian budaya yang membanggakan Sarawak.

“Saya berharap kita akan terus menghargai dan memelihara khazanah budaya ini, di samping memperkukuhkan semangat perpaduan, saling menghormati dan keharmonian antara kaum demi mengekalkan keunikan Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian budaya.

“Perayaan ini bukan sahaja menandakan berakhirnya musim menuai, malah mencerminkan warisan budaya, adat resam dan nilai-nilai murni yang diwarisi turun-temurun serta terus dipelihara hingga ke hari ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tiong pada masa sama turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang sambutan perayaan dan musim cuti.

“Sentiasa ingat, jangan sesekali memandu di bawah pengaruh alkohol mahupun dadah kerana ia membahayakan diri dan orang lain.

“Bagi mereka yang pulang ke kampung halaman atau dalam perjalanan menuju ke mana-mana destinasi sempena musim cuti ini, patuhilah peraturan jalan raya dan pandulah dengan cermat serta berhemah,” katanya.

Tiong turut mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada seluruh masyarakat Dayak yang menyambut perayaan itu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement