SHAH ALAM: Penyanyi popular, Datuk Nashrudin Elias atau lebih dikenali dengan nama komersial, Nash, 67, menjalani pembedahan petang tadi susulan mengalami serangan jantung.
Perkara itu dikongsikan Timbalan Presiden Music Malaysia yang juga Presiden IRAMA Entertainment Komuniti Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abdul Majid menerusi laman Facebook pada Isnin.
Katanya, 80 peratus saluran jantung Datuk Nash tersumbat.
"Mohon doa semua sahabat-sahabat. Saya baru menerima panggilan daripada anak kepada Datuk Nash, Shameer Nasha memaklumkan perkara tersebut.
"Marilah kita sama-sama mendoakan agar beliau diberikan kesembuhan yang segera, dipermudahkan segala urusan dan dikurniakan kesihatan yang baik," ujarnya.
Datuk Nash merupakan bekas vokalis kumpulan Step Closer dan Lefthanded dan pelantun lagu Pada Syurga Di Wajahmu. - Sinar Harian