Skip to main content

Malaysia

Layla Sania mahu bina identiti sendiri, kagumi Shila Amzah

KUALA LUMPUR, 15 Feb -- Penyanyi, Layla Sania Khairuzikri (tengah) bersama produser dan ahli keluarga ketika sesi sidang media pada pelancaran lagu Tahun Baharu Cina pertamanya Xin Nian Re Nao di sini baru-baru ini. di Santai House, Trec Kuala Lumpur.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Penyanyi, Layla Sania Khairuzikri (tengah) bersama produser dan ahli keluarga ketika sesi sidang media pada pelancaran lagu Tahun Baharu Cina pertamanya Xin Nian Re Nao di ibu negara baru-baru ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Walaupun ada pihak menggelarnya sebagai next Shila Amzah kerana menyanyikan lagu bahasa Mandarin, Layla Sania Khairuzikri mahu membina identiti dan laluan seni sendiri.

Menganggap perbandingan dengan pelantun lagu Patah Seribu itu sebagai penghormatan, gadis berusia 24 tahun itu menjadikan kejayaan Shila di China sebagai dorongan untuk bekerja lebih keras dalam membina jenama sendiri.

“Kalau dapat mencapai separuh tahap Shila, saya sudah sangat bersyukur. Saya pernah bertemu dengannya dan Shila sangat baik serta berbakat.

“Tapi saya mahu menjadi Layla Sania. Saya lihat usaha Shila dari dulu memang luar biasa dan saya perlu menggandakan usaha jika mahu mencapai sesuatu,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran lagu Tahun Baharu Cina pertamanya Xin Nian Re Nao di sini baru-baru ini.

Tidak menolak untuk melebar sayap ke China jika diberi peluang, Pelakon Wanita Harapan bagi filem Small Town Heroes pada Festival Filem Malaysia ke-32 itu pernah menyertai program realiti nyanyian Sing Asia.

Menyentuh single baharu itu, Layla berkata lagu tersebut membawa maksud Tahun Baharu Cina Penuh Kemeriahan, dicipta bersama-sama bapanya Khairuzikri Mohamad atau Mystictune.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jenis Cina Chong Hwa itu berkata proses kreatif menuntut penelitian dari segi pemilihan lirik, susunan melodi serta sebutan bahasa Mandarin agar mesej dibawa kekal autentik dan menghormati nilai budaya.

“Latar belakang pendidikan di sekolah aliran Cina banyak membantu saya memahami nuansa bahasa dan semangat perayaan itu. Saya mahu hasilnya jujur dan tulen.

“(Ini) bukan sekadar lagu perayaan, tetapi sesuatu yang benar-benar mencerminkan kegembiraan dan kebersamaan,” katanya yang bersyukur lagu itu diterima baik bukan sahaja di Malaysia malah mendapat perhatian pendengar di Taiwan.

Layla berkata single itu satu daripada projek dua lagu raya dengan pelancaran lagu Aidilfitri dijadualkan menjelang penghujung Ramadan.

Biarpun lebih dikenali menerusi lagu bahasa Mandarin, Layla tidak menolak mencuba genre lain termasuk “rock kapak”  kerana meminati kumpulan seperti Wings dan Search serta Ella.

Layla yang sedang melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak juga menyimpan hasrat menyambung pengajian dengan pengkhususan dalam pendidikan khas untuk merealisasikan cita-cita membuka sebuah pusat pendidikan sendiri yang menggunakan bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

Wanita itu berpandangan kanak-kanak wajar didedahkan dengan pelbagai bahasa sejak kecil selain kos pendidikan khas yang tinggi mendorongnya mencari pendekatan lebih sederhana agar perkhidmatan yang hendak ditawarkan nanti tidak terlalu membebankan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video