Skip to main content

Malaysia

Keamanan asas kemajuan negara, wajib dipelihara - PM Anwar

IPOH, 15 Feb -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika hadir pada Sambutan Tahun Baharu Cina Bersama Warga Tambun di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa Kanthan hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika hadir pada Sambutan Tahun Baharu Cina Bersama Warga Tambun di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa Kanthan hari ini. - Foto Bernama

IPOH: Keamanan yang dinikmati penduduk pelbagai kaum di Malaysia perlu dipelihara sebaiknya kerana ia elemen asas pada kemajuan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata Malaysia adalah sebuah negara unik kerana mampu kekal aman dengan populasi lebih 34 juta penduduk yang merangkumi pelbagai kaum antaranya Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan. 

Beliau berkata keunikan itu dapat dilihat menerusi persembahan tarian dalam program sambutan perayaan yang dianjurkan apabila kepelbagaian budaya ditonjolkan sebagai simbol perpaduan.

“Kita mahu tunjuk kepada masyarakat kita, anak-anak kita bahawa masa depan kalau Malaysia mahu maju, senang cari makan, ekonomi naik, pendidikan tingkat lagi tinggi, hospital lebih baik, kita mesti jaga negara ini dengan aman. 

“Nombor satu apa pun mesti aman, kalau kita gaduh, kita negeri kaya pun hancur. Jadi semangat Gong Xi Fa Cai, ini Tahun Kuda, maknanya tahun ini 'ong' (bertuah),” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Tahun Baharu Cina bersama Perdana Menteri di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa Kanthan Baru di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Dalam majlis sama, Anwar turut menyampaikan cek cura bernilai RM500,000 daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertujuan melaksanakan kerja-kerja penurapan jalan, naik taraf serta baik pulih kemudahan awam dan rumah di Kampung Baru Kanthan di sini.

-- BERNAMA

Must Watch Video