SHAH ALAM: Selepas lebih lima tahun membina kepercayaan pengguna melalui produk penjagaan kulit wajah tempatan, Arora Skincare mengembangkan jenamanya dengan pembukaan rasmi Arora Beauty Spa sebagai langkah memperkenalkan pendekatan penjagaan kulit yang lebih menyeluruh.
Inisiatif itu menandakan peralihan daripada penjagaan kulit wajah berasaskan produk semata-mata kepada model holistik yang menggabungkan rawatan profesional, analisis kesihatan kulit serta penggunaan bahan aktif yang disasarkan.
Pembukaan serentak lima cawangan di Setia Alam, Ipoh, Manjung, Seberang Jaya dan Cyberjaya mencerminkan permintaan yang semakin meningkat terhadap rawatan kulit yang lebih komprehensif dan diperibadikan.
Pengasas Arora Beauty Spa, Ira Shahrul berkata spa tersebut dibangunkan bagi memberi perkhidmatan lebih menyeluruh kepada ratusan ribu pengguna setia jenama itu yang telah menyokong Arora sejak lima tahun lalu.
Menurutnya, Arora mengambil pendekatan berbeza berbanding spa lain kerana rawatan yang ditawarkan bermula daripada kekuatan produk yang telah terbukti keberkesanannya di pasaran.
“Spa lain biasanya bermula tanpa produk, tetapi untuk Arora Beauty Spa kami bermula dengan produk terlebih dahulu kerana kami sudah mempunyai ratusan ribu pengguna setia dan mahu memberikan servis tambahan kepada mereka.
“Semua facial dan rawatan yang dijalankan hanya menggunakan bahan Arora Skincare sepenuhnya supaya pelanggan tidak perlu risau tentang risiko ketidakserasian atau ‘breakout’ akibat penggunaan bahan berlainan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelanggan yang datang akan menjalani analisis kulit menggunakan teknologi facial analyser bagi mengenal pasti masalah sebenar kulit sebelum rawatan dan produk yang sesuai disyorkan.
Pendekatan berasaskan analisis ini bertujuan membantu pelanggan menjimatkan masa dan kos dengan mendapatkan rawatan yang tepat sejak awal.
Menurut Ira, masalah kulit seperti jeragat, jerawat dan kulit kusam sering mendorong pengguna mencuba produk secara rawak, sedangkan diagnosis awal mampu meningkatkan keberkesanan rawatan.
Dalam usaha memperluaskan pasaran, beliau berkata Arora kini mempunyai pengguna setia dari Singapura dan Brunei, selain merancang untuk menembusi pasaran antarabangsa pada masa hadapan.
Mengulas mengenai strategi pemasaran, Ira menegaskan Arora memilih pelanggan sendiri sebagai duta jenama bagi memastikan ketelusan dan keaslian testimoni pengguna.
“Pengguna yang benar-benar mendapat hasil daripada Arora Skincare adalah duta kami yang sebenar kerana mereka berkongsi pengalaman tulen,” tambahnya.
Dari sudut sains dan keselamatan produk, doktor biohacking, Dr Wan Share berkata Arora merupakan antara jenama tempatan yang menitikberatkan ujian makmal, keselamatan dan keberkesanan bahan aktif.
Beliau berkata kajian makmal dan pelaburan dalam teknologi formulasi memberi keyakinan terhadap kualiti produk yang dihasilkan.
“Saya melihat Arora sebagai produk tempatan yang kelihatan seperti produk antarabangsa dari segi pembungkusan dan teknologi.
“Teknologi ampul berbentuk kaviar yang digunakan memastikan bahan aktif hanya dilepaskan apabila digunakan, sekali gus mengekalkan kualiti dan keberkesanan bahan tersebut,” ujarnya.
Dr Wan turut menyifatkan pelaburan dalam ujian klinikal dan dermatologi sebagai langkah penting dalam memastikan keselamatan dan keberkesanan produk kepada pengguna.
Majlis pelancaran turut diserikan kehadiran pelakon Izara Aishah yang hadir untuk mengenali jenama tersebut dan merancang mencuba produknya buat pertama kali.
Izara berkata sebagai selebriti yang kerap menggunakan solekan tebal, beliau memerlukan penjagaan kulit yang mampu memulihkan kesihatan kulit dengan cepat dan berkesan.
“Saya datang hari ini untuk memperkenalkan diri saya dengan produk ini dan selepas ini saya akan mencubanya serta memberikan maklum balas secara jujur,” jelasnya.
Beliau berharap produk berkenaan sesuai dengan kulitnya memandangkan kesukaran mencari produk yang benar-benar serasi.
Sempena pembukaan rasmi, Arora Beauty Spa menawarkan 50,000 baucar eksklusif bernilai RM175 kepada pelanggan baharu dan sedia ada sebagai galakan untuk mencuba rawatan profesional yang ditawarkan.
Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai rawatan serta promosi yang ditawarkan boleh melayari laman web rasmi aroraskincarehq.com.my atau menghubungi talian WhatsApp 017-993 7769.