DENGKIL: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menolak desakan beberapa Ahli Parlimen supaya beliau bercuti susulan siasatan yang sedang dijalankan terhadap dirinya, dengan menegaskan perkara itu bukan satu isu.
Menurut beliau, terpulang kepada mana-mana pihak untuk membuat desakan sedemikian.
“Bagi saya, perkara itu bukan isu,” katanya ringkas.
Azam berkata demikian ketika menjawab pertanyaan media pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI di Kampung Sungai Buah, di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Azam memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi berita Bloomberg sekiranya syarikat media antarabangsa itu gagal menjawab surat tuntutan (LOD) yang dihantarnya dalam tempoh 14 hari.
Beliau berkata, LOD tersebut dihantar berhubung satu artikel yang disifatkannya sebagai berunsur fitnah, yang mendakwa beliau memiliki berjuta-juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Terdahulu, Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bagaimanapun, Azam sebelum ini menegaskan bahawa pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam syarikat berkenaan dibuat secara telus dan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Beliau turut menjelaskan bahawa tiada sebarang perkara yang disembunyikan kerana pegangan saham itu telah diisytiharkan sepenuhnya, malah saham yang dibeli tahun lalu sudah dilupuskan dalam tahun yang sama.