Skip to main content

Malaysia

Bjorn Again tampil julung kali di Malaysia menerusi The ABBA Forever Tour 2026

ABBA FOREVER
Kumpulan tribute ABBA bertaraf antarabangsa, Bjorn Again, bakal membuat penampilan sulung mereka di Kuala Lumpur menerusi The ABBA Forever Tour pada tahun 2026, sekali gus menjanjikan pengalaman muzik nostalgia yang merentas generasi.

KUALA LUMPUR: Kumpulan tribute ABBA bertaraf antarabangsa, Bjorn Again, bakal membuat penampilan sulung mereka di Kuala Lumpur menerusi The ABBA Forever Tour pada tahun 2026, sekali gus menjanjikan pengalaman muzik nostalgia yang merentas generasi.

Pementasan mereka akan berlangsung pada 12 Ogos depan di pusat hiburan Zepp, Kuala Lumpur.

Didatangkan khas terus dari Melbourne, Australia, Bjorn Again terkenal dengan persembahan selama hampir dua jam yang meraikan karya-karya ikonik kumpulan pop legenda Sweden, ABBA, menerusi gabungan vokal bertenaga, produksi pentas berwarna-warni serta elemen jenaka dan teater.

Persembahan itu bakal menampilkan lagu-lagu malar segar yang menjadi kegilaan ramai seperti Mamma Mia, Dancing Queen, Waterloo, SOS dan Gimme! Gimme! Gimme!, selain balada terkenal antaranya The Winner Takes It All, I Have a Dream, Chiquitita dan Fernando.

Bjorn Again diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai antara pementasan tribute paling berkualiti dan menghiburkan, dengan reputasi kukuh hasil gabungan persembahan vokal yang tepat, kostum ikonik serta tenaga pentas yang memukau.

Ditubuhkan di Melbourne, kumpulan itu telah mengadakan persembahan di lebih 120 negara dan kekal sebagai satu-satunya kumpulan tribute ABBA yang diiktiraf serta disahkan secara rasmi oleh ahli asal ABBA.

Populariti Bjorn Again turut dibuktikan melalui sokongan peminat terkenal termasuk Metallica, Nirvana, Tom Jones, Rowan Atkinson dan J.K. Rowling, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai fenomena global.

Kumpulan ini juga pernah menghiasi pentas ikonik dunia seperti Stadium Wembley, Royal Albert Hall, Sydney Opera House dan Myer Music Bowl Melbourne, selain menjadi tarikan utama festival antarabangsa termasuk Glastonbury, Roskilde, Reading Festival dan Big Red Bash.

Majalah hiburan Time Out pernah menyifatkan Bjorn Again sebagai “salah satu pementasan langsung paling menghiburkan di dunia hari ini”, sementara anggota ABBA, Benny Andersson, secara berseloroh menyatakan bahawa Bjorn Again merupakan pengalaman paling hampir untuk menyaksikan ABBA secara langsung.

Dengan muzik ABBA kembali menikmati lonjakan populariti global hasil filem dan pementasan seperti Muriel's Wedding, The Adventures of Priscilla, Queen of the Desert dan fenomena Mamma Mia!, hentian Kuala Lumpur ini dijangka menjadi antara acara hiburan langsung yang paling dinantikan pada tahun 2026.

Tiket persembahan boleh didapati menerusi laman sesawang www.ticket2u.com bermula jam 10 pagi, 28 April 2026. 

Orang ramai juga digalakkan mengikuti Shiraz Projects dan Bjorn Again di media sosial bagi mendapatkan maklumat serta pengumuman terkini.

Must Watch Video