KUALA LUMPUR: Lebih enam dekad mewarnai industri seni dengan lebih 2,000 karya ikonik, legasi muzik seniman Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab kini didokumentasikan untuk rujukan generasi akan datang.
Daripada lagu-lagu malar segar hingga runut bunyi filem, sentuhan beliau membantu membentuk identiti muzik tempatan dan melahirkan ramai penyanyi ternama antaranya Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah, Uji Rashid dan Ramlah Ram.
Jasa dan sumbangan besar itu dihimpunkan dalam buku berjudul “Sentuhan Emas Tan Sri Ahmad Nawab” yang direalisasikan oleh anak sulungnya Nasir Khan.
Menurut Nasir, penerbitan buku tersebut bagi menunaikan hasrat Allahyarham yang mahu karyanya didokumentasikan.
“Memang itu hajat arwah. Dia nak karya-karya dia dikumpulkan supaya orang boleh belajar dan kenal muzik dia,” katanya kepada Bernama pada majlis pelancaran buku berkenaan baru-baru ini.
Meskipun terkilan kerana bapanya tidak sempat melihat hasil akhir buku berkenaan, Nasir menarik nafas lega apabila amanah yang dipikul selama lapan bulan itu berjaya disempurnakan demi memartabatkan legasi seni ayahanda tercinta.
“Nilai buku ini sangat besar bagi saya, bukan sekadar sebuah buku muzik tetapi merupakan sejarah dan amanah. Saya buat yang terbaik untuk pastikan impian arwah tercapai," katanya.
Mengandungi skor muzik serta gambar eksklusif yang menceritakan kisah di sebalik karya yang pernah dihasikan Allahyarham, Nasir berkata antara cabaran utama ialah memastikan setiap lagu ditranskripsi dengan tepat daripada skor asal.
Beliau berkata bagi memastikan ketepatan, proses tersebut dilakukan dengan bantuan tenaga mahir dalam bidang muzik.
“Semua nota, gambar dan rekod dia simpan dengan sangat baik. Itu yang memudahkan proses kumpul bahan,” katanya.
Nasir berkata lebih istimewa, tulisan tangan terakhir Allahyarham sebelum meninggal dunia diabadikan pada kulit buku berkenaan sebagai reka bentuk tajuk utama naskhah itu.
Buku tersebut akan diagihkan ke institusi pengajian tinggi, selain disumbangkan kepada Arkib Negara Malaysia serta Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai bahan rujukan.
Ahmad Nawab meninggal dunia pada usia 92 tahun akibat sakit tua pada 24 Nov 2024.
Maestro muzik tersohor itu menggubah lebih 2,000 lagu yang mencorakkan industri seni tanah air termasuk “Malaysia Truly Asia” yang dianggap ikon lagu bertemakan pelancongan bagi mempromosikan Malaysia di persada dunia.
-- BERNAMA