LOS ANGELES: Pelan utama Paramount Skydance untuk mengambil alih Warner Bros Discovery melepasi halangan besar selepas mendapat kelulusan pemegang saham baru-baru ini, namun cadangan penggabungan itu kini berdepan gelombang tentangan, lapor Xinhua.
Penggabungan itu dibantah oleh gabungan penggiat industri Hollywood, kesatuan pekerja, kumpulan advokasi kebebasan media dan penggubal undang-undang Parti Demokrat yang berpendapat perjanjian itu menimbulkan isu antiamanah yang boleh mempercepat penumpuan pemilikan media, mengancam kebebasan bilik berita serta mengurangkan peluang pekerjaan dalam ekonomi yang sedia mencabar.
“Kami amat bimbang dengan tanda-tanda sokongan terhadap penggabungan ini yang mengutamakan kepentingan sekumpulan kecil pihak berkepentingan berpengaruh berbanding kepentingan awam yang lebih luas. Integriti, kebebasan dan kepelbagaian industri kami akan terjejas dengan serius,” menurut gabungan itu dalam surat terbuka yang disiarkan di laman sesawang BlocktheMerger.com, yang setakat ini ditandatangani lebih 4,700 bintang filem dan televisyen serta penggiat industri kreatif.
“Persaingan penting untuk ekonomi yang sihat dan demokrasi yang sihat. Begitu juga peraturan dan penguatkuasaan yang teliti,” menurut surat itu lagi.
Di bawah perjanjian yang diumumkan pada Februari, Paramount Skydance -- yang mengambil alih Paramount tahun lalu -- menawarkan AS$31 sesaham secara tunai bagi Warner Bros Discovery, dengan nilai urus niaga hampir AS$111 bilion termasuk hutang.
Gabungan itu memberi amaran bahawa urus niaga berkenaan akan “mengukuhkan lagi penumpuan landskap media yang sedia tertumpu” dengan mengurangkan jumlah studio filem utama di Amerika Syarikat (AS) kepada empat, serta mewujudkan “lebih sedikit peluang untuk penggiat kreatif, kurang pekerjaan dalam ekosistem produksi, kos lebih tinggi dan pilihan lebih terhad untuk audiens.”
Pemantau media dan kebebasan akhbar turut menyuarakan kebimbangan sama. Beberapa pemerhati industri menyatakan perjanjian itu boleh mencetuskan pemberhentian kerja secara besar-besaran, khususnya selepas Hollywood terkesan oleh beberapa penggabungan besar sepanjang dekad lalu, selain berpotensi meningkatkan harga dan mengurangkan pilihan pengguna.
Penentang berhujah bahawa penggabungan itu menimbulkan kebimbangan klasik berkaitan antiamanah kerana ia akan menggabungkan dua studio filem utama serta perniagaan penstriman, berita dan televisyen kabel utama, yang berpotensi mengurangkan persaingan bagi bakat dan projek, meningkatkan pengaruh syarikat gabungan terhadap pengedar dan pengiklan, serta mengecilkan jumlah pembeli bagi filem dan siri televisyen.
Mereka juga menjelaskan bahawa risiko semakin meningkat dalam persekitaran media apabila lesen penyiaran, kelulusan korporat dan keputusan pengawalseliaan boleh menjadi alat pengaruh dalam pertikaian politik yang lebih luas.
Penggabungan itu dijangka disemak oleh Jabatan Kehakiman AS, dan pengkritik menggesa pegawai negeri supaya mengambil tindakan.
Dalam kenyataan terdahulu, Senator Parti Demokrat Elizabeth Warren memberi amaran bahawa “segelintir bilionair yang sehaluan dengan Trump cuba menguasai apa yang anda tonton dan mengenakan apa sahaja harga yang mereka mahu,” sambil menegaskan bahawa peguam negara negeri mungkin perlu menguatkuasakan undang-undang jika pengawal selia persekutuan tidak berbuat demikian.
Peguam Negara California Rob Bonta berkata pejabatnya sedang meneliti perjanjian itu.
Bonta memberitahu National Public Radio bahawa beliau sedang mengumpul maklumat mengenai bagaimana penggabungan itu boleh menjejaskan pengguna serta mereka yang bekerja dalam industri filem dan televisyen, sambil menambah beliau tidak mempercayai kerajaan persekutuan untuk menjalankan siasatan yang adil.
-- BERNAMA-XINHUA