Skip to main content

Sukan

Piala Uber: Korea Selatan tewskan China untuk rangkul kejuaraan ketiga

PIALA UBER_BERNAMA
Barisan pemain Korea Selatan yang menuai kejayaan setelah berhempas-pulas menumpaskan pasukan China dalam perlawanan akhir. - Bernama

HORSENS: Korea Selatan dinobatkan sebagai juara Piala Uber 2026 selepas menafikan impian China untuk mempertahankan gelaran itu dengan kemenangan 3-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Forum Horsens di sini hari ini.

Korea Selatan membuat percaturan taktikal yang berani apabila memisahkan pasangan beregu wanita utama yang juga pasangan nombor tiga dunia Baek Ha Na-Lee So Hee, satu pertaruhan yang akhirnya membuahkan hasil pada perlawanan keempat yang menjadi penentu.

Pemain perseorangan wanita nombor satu dunia An Se Young membuka langkah Korea Selatan apabila menewaskan pemain nombor dua dunia Wang Zhi Yi, 21-10, 21-13 dalam tempoh 47 minit.

Kemenangan Se Young itu turut melebarkan dominasinya dalam rekod pertemuan antara mereka dengan 20 kemenangan daripada 25 perlawanan menentang pemain China itu.

China bangkit menerusi pasangan nombor satu dunia Liu Sheng Shu-Tan Ning, yang mengikat kedudukan 1-1 dengan kemenangan meyakinkan 21-15, 21-12 ke atas Jeong Na Eun yang bergandingan dengan So Hee.

Korea Selatan bagaimanapun kembali menguasai perlawanan apabila perseorangan kedua yang juga pemain nombor 17 dunia Kim Ga Eun mencipta kejutan menewaskan pemain nombor empat dunia Chen Yufei, 21-19, 21-15 dalam tempoh 55 minit.

Ketika kejuaraan semakin hampir, Baek Ha Na bergandingan dengan Hye Jeong mempamerkan aksi menarik apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 16-21, 21-10, 21-13 dalam perlawanan penentuan yang sengit, sekali gus menghadiahkan kejuaraan Piala Uber ketiga buat Korea Selatan.

Sebaik sahaja bulu tangkis yang dipukul Ha Na mencecah lantai bagi menandakan kemenangan, pasukan Korea Selatan meluru ke gelanggang untuk meraikan kejayaan itu bersama beliau dan Hye Jeong.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video