KABUL: Pihak berkuasa Afghanistan menyiapkan dan menyerahkan 108 rumah baharu di wilayah barat Farah kepada keluarga pelarian yang baru pulang ke negara itu, bagi menyediakan perlindungan penting susulan peningkatan jumlah kepulangan pelarian, menurut Agensi Berita Bakhtar pada Ahad, lapor Xinhua.
Unit kediaman itu, yang dibina dengan kos AS$550,000 hasil sokongan kewangan sebuah organisasi antarabangsa, diserahkan secara rasmi kepada penerima manfaat, menurut laporan itu. Pegawai menyifatkan tempat perlindungan berkenaan sebagai penting bagi keluarga yang pulang selepas bertahun-tahun hidup dalam keadaan terpaksa berpindah.
Dalam tempoh tiga hari lalu sahaja, hampir 14,000 pelarian Afghanistan kembali ke tanah air mereka, dengan sebahagian besar memasuki negara itu melalui lintasan sempadan Torkham di wilayah timur Nangarhar, manakala yang lain melalui Spin Boldak di selatan Kandahar serta beberapa laluan lain, menurut laporan itu.
Projek perumahan di Farah itu merupakan sebahagian daripada inisiatif lebih luas kerajaan Afghanistan untuk mengagihkan tanah dan membina kediaman bagi mereka yang kembali ke negara itu di seluruh negara.
Sepanjang tahun lalu, hampir tiga juta rakyat Afghanistan kembali dari negara jiran Iran dan Pakistan, susulan usaha kedua-dua negara itu memperhebat tindakan menghantar pulang warga asing tanpa dokumen.
-- BERNAMA-XINHUA