SINGAPURA: Menteri Kanan Singapura Lee Hsien Loong akan mengadakan lawatan selama lima hari ke Pahang dan Terengganu dari 4 hingga 8 Mei, menurut Pejabat Perdana Menteri Singapura (PMO).
Dalam kenyataan pada Ahad, PMO memaklumkan lawatan itu diadakan atas jemputan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menurut kenyataan itu, Lee akan menghadap Sultan Pahang dan diraikan dalam satu majlis santapan tengah hari oleh baginda, selain bertemu Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta pemimpin negeri yang lain.
“Lawatan Menteri Kanan Lee ini memperkukuh momentum pertukaran dua hala, sekali gus memperdalam hubungan Singapura dengan negeri di Malaysia serta para pemimpinnya yang telah lama terjalin dan bersifat pelbagai dimensi,” menurut kenyataan itu.
PMO turut memaklumkan bahawa di Terengganu, Lee akan bertemu Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta pemimpin negeri yang lain.
Sepanjang lawatan itu, Lee akan diiringi isterinya Ho Ching; Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Edwin Tong; Menteri Negara di Kementerian Ehwal Luar dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Zhulkarnain Abdul Rahim serta pegawai dari Kementerian Ehwal Luar.
-- BERNAMA