Skip to main content

Dunia

Oscar tegaskan lakonan dan penulisan AI tidak layak menang anugerah

61740974037_tbAnoraOscarssho.jpg
Akademi menyifatkan pindaan itu sebagai perubahan ketara kepada peraturan Oscar, dan menandakan kali pertama keperluan khusus mengenai unsur kemanusiaan dalam lakonan dan penulisan dinyatakan secara jelas. - Gambar hiasan/REUTERS

LOS ANGELES: Akademi Seni Filem dan Sains Sinematik (Academy of Motion Picture Arts and Sciences) menegaskan bahawa hanya lakonan dan penulisan yang dilakukan oleh manusia akan layak dipertimbangkan untuk memenangi Anugerah Akademi, ketika penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin meluas dalam industri perfileman.

Dalam peraturan kelayakan terbaharu yang diumumkan pada Jumaat, Akademi menyatakan bahawa pencalonan Oscar bagi kategori lakonan dan penulisan hanya akan diberikan kepada karya yang “jelas dilaksanakan oleh manusia”, manakala skrip pula mestilah “ditulis oleh manusia”.

Akademi menyifatkan pindaan itu sebagai perubahan ketara kepada peraturan Oscar, dan menandakan kali pertama keperluan khusus mengenai unsur kemanusiaan dalam lakonan dan penulisan dinyatakan secara jelas.

Keputusan itu dibuat susulan peningkatan ketara penggunaan AI dalam pembikinan filem sejak kebelakangan ini, termasuk usaha mencipta semula atau menggantikan hasil kerja manusia.

Antara contoh terkini ialah penggunaan teknologi AI untuk menghidupkan semula pelakon Val Kilmer, yang meninggal dunia pada 2025, bagi membintangi sebuah filem akan datang.

Pada masa sama, terdapat juga individu yang mendakwa mencipta pelakon AI sepenuhnya untuk tujuan hiburan komersial.

Isu AI turut menjadi punca utama mogok penulis Hollywood dua tahun lalu, apabila kesatuan penulis membantah penggunaan teknologi itu oleh studio bagi menghasilkan skrip filem dan televisyen.

Selain itu, beberapa studio, pelakon dan penulis telah memfailkan tindakan undang-undang terhadap syarikat AI, mendakwa pelanggaran hak cipta kerana model AI dilatih menggunakan kandungan yang dihasilkan manusia.

Bagaimanapun, Akademi tidak mengharamkan penggunaan AI secara menyeluruh dalam pembikinan filem.

Menurutnya, penggunaan alat AI di luar kategori lakonan dan penulisan tidak akan menjejaskan peluang sesebuah karya untuk dicalonkan.

“Akademi dan setiap cabang akan menilai pencapaian kreatif dengan mengambil kira sejauh mana peranan manusia dalam penghasilan karya tersebut,” menurut kenyataan itu.

Akademi turut menegaskan bahawa ia berhak meminta maklumat lanjut sekiranya timbul persoalan mengenai penggunaan AI generatif dan tahap penglibatan manusia dalam sesuatu karya.

Teknologi telah lama menjadi sebahagian daripada industri perfileman, termasuk penggunaan imej janaan komputer (CGI) sejak 1990-an.

Namun, berbeza dengan CGI yang masih memerlukan pengendalian dan sentuhan manusia, alat AI lazimnya direka untuk mengautomasikan proses kreatif melalui arahan ringkas, sekali gus menimbulkan perdebatan baharu mengenai nilai dan peranan manusia dalam seni perfileman moden.

 

Must Watch Video