JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menumpaskan kegiatan urus niaga diesel haram menerusi Op Tiris 4.0 di sebuah premis perindustrian di Ulu Tiram, di sini pada 30 April.
Pengarahnya Lilis Saslinda Pornomo berkata seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun turut ditahan dalam serbuan yang dijalankan hasil risikan Bahagian Penguat Kuasa KPDN negeri.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati premis itu tidak memiliki sebarang lesen sah untuk menjalankan aktiviti berkaitan diesel.
“Modus operandi kegiatan ini dipercayai berselindung di sebalik nama perniagaan sebagai pemborong minyak diesel.
“Bekalan didapati daripada syarikat pembekal sebelum dijual kepada syarikat pengangkutan tanpa lesen yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya menyita kira-kira 10,300 liter minyak diesel, tangki skid, set pam bahan api lengkap dengan muncung dan hos serta dokumen urus niaga dengan keseluruhan rampasan bernilai RM85,736.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
-- BERNAMA