KOTA BHARU: Dua remaja lelaki direman tujuh hari manakala dua warga emas termasuk seorang wanita direman tiga hari bagi membantu siasatan kes bunuh seorang penuntut kolej perempuan dengan 61 kesan tikaman yang ditemukan di Kampung Simah, Ketereh di sini semalam.
Perintah reman terhadap dua lelaki berusia 19 tahun, warga emas lelaki 66 tahun dan wanita 60 tahun dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid di Mahkamah Majistret di sini, bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kesemua suspek tiba di mahkamah pada 8.40 pagi dengan memakai pakaian lokap, bergari dan diiringi anggota polis.
Semalam, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan penemuan mayat seorang penuntut kolej perempuan berusia 19 tahun di jalan berhampiran sawah di kampung itu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa berasal dari Perak dan dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayat dibuang di kawasan tersebut.
Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa akibat kecederaan tikaman berganda pada bahagian dada.
-- BERNAMA