Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: AS umum sekatan terhadap pembayar tol Selat Hormuz

Ships and tankers in the Strait of Hormuz off the coast of Musandam, Oman, April 18, 2026. REUTERS
Langkah terbaharu itu dijangka terus meningkatkan ketegangan antara AS dan Iran. - Foto fail/REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sekali lagi menegaskan keyakinannya bahawa strategi tekanan ekonomi terhadap Iran akan berjaya, ketika Washington mengumumkan sekatan baharu yang menyasarkan pihak-pihak yang membayar tol kepada Iran untuk melalui Selat Hormuz.

Trump mendakwa sekatan ekonomi serta sekatan laut berterusan di Selat Hormuz kini menelan kos jutaan dolar kepada Iran, sambil menegaskan bahawa tekanan kewangan yang dikenakan ke atas individu dan entiti di republik Islam itu semakin memberi kesan kepada ekonominya.

Beliau turut berulang kali menyatakan bahawa tekanan berterusan tersebut akan memaksa Tehran kembali ke meja rundingan dan bersetuju dengan perjanjian mengikut syarat yang ditetapkan oleh Washington.

Seiring itu, Jabatan Perbendaharaan AS mengumumkan langkah untuk mengenakan sekatan ke atas individu dan entiti yang didakwa membayar bayaran tol kepada Iran bagi membolehkan kapal mereka melalui Selat Hormuz, laluan maritim penting bagi perdagangan minyak global.

Langkah itu digambarkan pegawai AS sebagai satu ancaman serius terhadap pihak yang terus berurusan dengan Iran dalam laluan strategik tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Negara AS turut mengumumkan penubuhan apa yang digelarnya sebagai “Maritime Freedom Construct”, satu rangka kerja baharu yang akan dikawal oleh Pemerintah Tengah Amerika Syarikat (CENTCOM).

Inisiatif itu dilihat sebagai satu bentuk pakatan perkapalan, melibatkan kapal-kapal yang bersetuju dengan terma AS untuk melalui Selat Hormuz sebelum dibenarkan berlayar dengan iringan Tentera Laut AS tanpa perlu membayar sebarang tol kepada pihak Iran.

Walaupun dilihat kompleks, pendekatan tersebut mencerminkan usaha Washington untuk menyeimbangkan penguatkuasaan sekatan laut terhadap Iran dengan keperluan memastikan aliran minyak global melalui Selat Hormuz tidak terganggu sepenuhnya, memandangkan sebarang gangguan berpanjangan boleh membawa kesan ekonomi besar di peringkat antarabangsa.

Langkah terbaharu itu dijangka terus meningkatkan ketegangan antara AS dan Iran, di tengah-tengah kebimbangan global terhadap kestabilan perdagangan tenaga dan keselamatan perkapalan di rantau Teluk.
 

Must Watch Video