KUALA LUMPUR: Pelakon dan legenda seni mempertahankan diri Amerika Syarikat, Chuck Norris, meninggal dunia pada usia 86 tahun.
Menurut kenyataan keluarga yang disiarkan pada Jumaat, Norris sebelum itu dimasukkan ke hospital di Hawaii pada Khamis selepas mengalami kecemasan perubatan.
Dalam kenyataan keluarganya, Norris disahkan meninggal dunia pada pagi Jumaat, dan mereka meminta agar butiran lanjut mengenai keadaan tersebut tidak didedahkan kepada umum.
“Beliau pergi dengan tenang, dikelilingi keluarga,” menurut kenyataan itu.
Norris merupakan nama besar dalam dunia seni mempertahankan diri Amerika, selain dikenali sebagai pelakon filem aksi yang mempopularkan karakter wira Amerika dalam era 1970‑an hingga 1990‑an. Beliau memegang beberapa tali pinggang hitam termasuk dalam karate, taekwondo, judo dan Brazilian jiu‑jitsu.
Dilahirkan di Oklahoma pada 1940, Norris berkhidmat dalam Tentera Udara Amerika Syarikat sebelum mencipta nama sebagai ahli seni bela diri profesional.
Kerjayanya melonjak naik sebagai pelakon pada tahun 1972 apabila beliau muncul dalam filem Way of the Dragon bersama legenda seni mempertahankan diri Bruce Lee.
Sepanjang kerjayanya, Norris membintangi pelbagai filem aksi popular termasuk The Delta Force, Missing in Action, Good Guys Wear Black, dan Lone Wolf McQuade yang akhirnya mengilhamkan siri televisyen hit Walker, Texas Ranger yang disiarkan dari 1993 hingga 2001.
Beliau turut dikenang sebagai figura ikonik budaya pop antarabangsa, termasuk melalui fenomena “Chuck Norris Facts” yang meraikannya sebagai simbol kekuatan dan ketabahan.
Keluarganya dalam kenyataan turut menggambarkan Norris sebagai “suami yang penyayang, bapa dan datuk yang setia, serta insan yang memberi inspirasi kepada jutaan orang di seluruh dunia.”
Pemergian Chuck Norris meninggalkan legasi besar dalam dunia seni mempertahankan diri dan perfileman yang merupakan seorang lagenda aksi yang akan terus hidup dalam ingatan peminat di seluruh dunia.