Skip to main content

Malaysia

Pengorbanan prasyarat utama depani cabaran, bina masa depan negara - PM Anwar

CYBERJAYA, 17 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya hari ini.   --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anwar berkata tanpa pengorbanan terhadap perkara yang menjadi kemahuan manusia iaitu harta, keluarga dan kedudukan, kehidupan akan menjadi tidak bermakna serta gersang daripada nilai. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru umat Islam agar menghayati nilai pengorbanan dan pesanan kesederhanaan dalam mendepani pelbagai cabaran demi membina masa depan negara yang lebih baik.

Beliau berkata kebesaran dan kemuliaan Aidiladha yang berlandaskan teladan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s, memperlihatkan bahawa setiap ikhtiar dalam mendepani cabaran memerlukan pengorbanan sebagai prasyarat utama.

"Pengorbanan yang kita lakukan hari ini punya harganya yang tersendiri dalam pelbagai perkara sama ada dalam hal ehwal pengurusan dan pengemudian ekonomi negara, bidang keilmuan dan lapangan keagamaan punya penekanan dan manifestasi masa hadapan. 

"Lantaran itu, berkorban dalam menongkah ujian hari ini demi masa hadapan yang lebih baik ternyata menjadi rahsia Tuhan yang terdalam, demi masa depan keluarga, negara dan malah, kehidupan selepas kematian juga," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau bersempena dengan sambutan Aidiladha.

Anwar berkata tanpa pengorbanan terhadap perkara yang menjadi kemahuan manusia iaitu harta, keluarga dan kedudukan, kehidupan akan menjadi tidak bermakna serta gersang daripada nilai.

"Oleh dengan itu, nilai keikhlasan dan ketakwaan seseorang dapat diukur, yakni semakin berharga sesuatu yang ia korbankan, maka semakin besar pula ketakwaan dan natijahnya,” kata beliau.

Mengenai ibadah Haji, Perdana Menteri berkata rukun Islam kelima itu mempunyai maqasid kerohanian tersendiri yang bertujuan mendidik jiwa manusia agar lebih zuhud dan sederhana.

Beliau berkata pemakaian ihram yang serba putih dan sederhana mendidik umat Islam mengenai nilai kebersihan, kemurnian dan kesederhanaan, manakala wuquf di Arafah pula membugar rasa insaf serta tawaduk tanpa mengira darjat dan kedudukan.

"Inilah tonggak kekuatan Haji yang tidak tertandingkan, terpancar menerusi garapan yang mendalam, penghayatan dan hidupnya amalan kita," kata Anwar.

Sehubungan itu, beliau mengajak umat Islam agar menghayati pesanan kesederhanaan yang dizahirkan dalam ibadah Haji, agar sentiasa tawaduk dan tidak terpukau dengan gemerlapan tarikan kemewahan dunia yang sementara. 

"Jangan kita terpesong dari tujuan dan landasan kita. Dunia harus menjadi jambatan utuh ke arah negeri yang abadi dan kekal selamanya," kata beliau. 

Dalam pada itu, Anwar turut mendoakan agar jemaah haji Malaysia yang kini berada di Tanah Suci memperoleh haji mabrur serta pulang ke tanah air dengan sejahtera.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement