KUALA KUBU BHARU: Meskipun diselubungi kesedihan, bapa kepada Nur Izzati Humaira Azizul yang ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai tersesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa, menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan anaknya.
Azizul Abdul Aziz, 48, berkata keluarganya amat berdukacita dengan kehilangan anak kedua daripada empat beradik itu, namun reda menerima ketentuan Allah SWT.
“Saya sudah tengok jenazah anak saya. Alhamdulillah keadaan auratnya tertutup dan terjaga dengan sempurna. Seluruh Malaysia mendoakan dia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) di sini, hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak Sabtu lepas selepas anaknya dilaporkan hilang.
Mengenai urusan pengebumian, Azizul memaklumkan jenazah Nur Izzati Humaira, 19, akan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat, sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Felda Trolak Utara, Sungkai, Perak.
Proses bedah siasat tersebut sebelum ini dijadualkan berlangsung di HKKB.
“Jenazah akan dibawa ke Masjid Ar-Riduaniah, Felda Trolak Utara untuk disolatkan dan dikebumikan di tanah perkuburan felda berkenaan secepat mungkin, selepas selesai urusan bedah siasat,” katanya.
Mayat remaja itu ditemukan di luar laluan mendaki oleh anggota operasi SAR pada kira-kira 11.59 pagi tadi, kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dia dilihat dan satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
Nur Izzati Humaira dipercayai tersesat pada 10.50 pagi Sabtu lepas ketika menuruni bukit bersama keluarganya.
Allahyarham dipercayai mengambil keputusan untuk berjalan sendirian bagi sampai lebih awal ke kaki bukit kerana berasa panas dan penat sebelum dilaporkan hilang.
-- BERNAMA