Skip to main content

Malaysia

Ahmad Zahid fail rayuan terhadap cabaran dibuat Majlis Peguam

FOTO SHAHIR
Ahmad Zahid telah mengemukakan lima persoalan undang-undang bagi menyokong permohonannya itu mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964. - Gambar fail/Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membenarkan Majlis Peguam Malaysia mencabar keputusan pihak pendakwaan untuk menghentikan semua prosiding lanjut terhadap beliau dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi.

Beliau telah mengemukakan lima persoalan undang-undang bagi menyokong permohonannya itu mengikut Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Perkara itu disahkan peguam beliau Datuk Hamidi Mohd Noh selepas prosiding pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Faten Nuradilla Jamil.

“Mahkamah telah menetapkan 9 Jun bagi pengurusan kes selanjutnya dan kami telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa kami memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan semalam, berhubung kebenaran yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan.

“Jabatan Peguam Negara (AGC) turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa ia akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan serta mengemukakan permohonan untuk menangguhkan prosiding di Mahkamah Tinggi,” katanya.

Pada 7 Mei, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Majlis Peguam Malaysia untuk mencabar keputusan Peguam Negara pada 4 Sept 2023 bagi menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid, dengan memutuskan bahawa permohonan itu bukan bersifat remeh dan membangkitkan isu undang-undang yang boleh dihujahkan serta wajar didengar sepenuhnya.

Mahkamah turut memberikan kebenaran kepada Majlis Peguam untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara yang dipertikaikan itu, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 27 Jun 2024.

Pada 27 Jun 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Majlis Peguam Malaysia untuk memulakan prosiding semakan kehakiman dengan memutuskan bahawa permohonan itu gagal memenuhi syarat yang diperlukan bagi semakan kehakiman. Susulan itu, Majlis Peguam memfailkan rayuan berkenaan.

Majlis Peguam turut memohon pengisytiharan mahkamah bahawa keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), untuk memberikan Ahmad Zahid pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) terhadap 47 pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi, terbatal dan tidak sah.

Mahkamah membuat keputusan untuk memberikan DNAA itu, selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara berhasrat menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid bagi meneliti bukti baharu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement