Skip to main content

Malaysia

Azam Baki enggan ulas isu lanjutan kontrak perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM

azam baki
Azam (foto) enggan mengulas berhubung status kontrak perkhidmatannya yang didakwa tidak akan disambung bagi tempoh seterusnya. - Gambar Astro AWANI/Wafi Norazmi

PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki enggan mengulas berhubung status kontrak perkhidmatannya yang didakwa tidak akan disambung bagi tempoh seterusnya. 

"Tiada komen. Saya sudah katakan bahawa saya tidak akan menjawab mengenai isu itu," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Libat Urus Pasukan Petugas Khas Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF): Way Forward di Ibu Pejabat SPRM, di sini, pada Khamis. 

Sebelum ini, Azam telah tiga kali dilantik semula bagi memegang jawatan berkenaan, masing-masing selama setahun iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024, 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025, serta 13 Mei 2025 hingga 12 Mei tahun ini. 

Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 bagi menggantikan Latheefa Koya yang memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009. 

Status perkhidmatan beliau kini menjadi tanda tanya susulan pendedahan media antarabangsa, termasuk Bloomberg dan The Straits Times, yang melaporkan beliau memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat tersenarai sejak awal 2025. 

Selain itu, bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, turut mendakwa Azam memiliki saham bernilai kira-kira RM14 juta merentasi sembilan syarikat. 

Setakat ini, tiada pengesahan rasmi berhubung sama ada kontrak Azam akan disambung selepas tamat tempoh perkhidmatannya bulan depan.

 

Must Watch Video