Skip to main content

Malaysia

Asrama maahad tahfiz terbakar, 18 pelajar dan guru sempat selamatkan diri

Maahad Tahfiz Terbakar
Kejadian berlaku kira-kira 4.30 petang ketika semua pelajar dan petugas berada di tingkat satu bagi mengikuti kelas pengajian al-Quran. - JBPM Johor via Bernama

JOHOR BAHRU: Sebanyak 15 pelajar dan tiga guru Maahad Tahfiz Sains Al Insyirah di Taman Tampoi Utama dekat sini, berdepan detik cemas apabila asrama dan dewan pelbagai guna premis itu musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Pengetua maahad tahfiz berkenaan Mohamad Halimi Kolan berkata kejadian berlaku kira-kira 4.30 petang ketika semua pelajar dan petugas berada di tingkat satu bagi mengikuti kelas pengajian al-Quran.

“Saya terdengar bunyi retakan dari tingkat atas yang menempatkan asrama dan dewan. Saya minta seorang guru periksa sebelum dimaklumkan api sedang marak dengan asap tebal,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohamad Halimi berkata beliau segera mengarahkan semua pelajar dan petugas keluar dari bangunan bagi menyelamatkan diri.

“Saya arahkan semua pelajar keluar segera sehelai sepinggang. Alhamdulillah, semua selamat. Pintu rintangan api juga membantu mengawal keadaan daripada api merebak terlalu cepat,” katanya.

Beliau berkata kesemua 15 pelajar lelaki kini ditempatkan sementara di rumah persendirian miliknya selepas asrama dan kelengkapan termasuk katil musnah dalam kebakaran itu.

Mohamad Halimi berkata punca kejadian masih belum diketahui dan memaklumkan ketika kejadian, semua peralatan elektrik seperti penyaman udara, lampu dan kipas telah ditutup.

Beliau berkata premis itu telah beroperasi sejak 2011 dan mereka yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 551342112113 atas nama maahad tahfiz berkenaan.

Sementara itu, Pasukan Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.35 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin digerakkan ke lokasi.

Menurut kenyataan itu, kebakaran melibatkan bangunan jenis kekal tiga tingkat dengan api marak di tingkat paling atas yang menempatkan penginapan pelajar dan guru berkeluasan kira-kira 30x30 kaki persegi.

Pasukan bomba menggunakan dua aliran hos sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air bagi mengawal kebakaran, selain turut dibantu oleh anggota dari BBP Kempas.

Kebakaran berjaya dikawal sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.09 petang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video