TOKYO: Gergasi teknologi Jepun, Sony, dilapor hampir memuktamadkan perjanjian menjual pegangan majoriti dalam perniagaan hiburan rumahnya kepada syarikat elektronik China, TCL, dalam urus niaga yang dianggarkan bernilai AS$1 bilion (sekitar RM3.95 bilion).
Menurut laporan Bloomberg, rundingan di antara kedua-dua syarikat kini berada di peringkat lanjutan dengan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada penghujung bulan ini.
Langkah ini menyusuli pengumuman pembentukan syarikat usaha sama antara Sony dan TCL pada Januari lalu, yang menyaksikan TCL bakal memegang 51 peratus saham manakala baki 49 peratus lagi kekal milik Sony.
Menerusi penstrukturan semula ini, Sony tidak lagi akan mengeluarkan televisyen secara dalaman.
Televisyen jenama Sony dan Bravia selepas ini akan dibangunkan menggunakan teknologi paparan TCL, manakala Sony menyumbang kepakaran pemprosesan imej dan teknologi audiovisual premium.
Syarikat usaha sama itu dijadualkan memulakan operasi pada April 2027.
Keputusan ini menandakan berakhirnya era pengeluaran kendiri kelengkapan audio visual Sony yang bermula sejak pelancaran radio pertama mereka, TR-55, pada tahun 1955.
Perubahan ini selari dengan strategi Sony yang kini giat mengurangkan portfolio perkakasan serta memberi tumpuan kepada pengembangan aset intelektual seperti anime, filem aksi nyata, muzik dan siaran sukan, selain meningkatkan penggunaan rantaian bekalan OEM bagi peranti Xperia.